Ahmad Faizal menang tanpa bertanding Ketua Bahagian Bersatu Tambun

Iklan
Pazli (kiri) ketika sidang akhbar mengumumkan mengenai proses pemilihan Bersatu bagi peringkat bahagian dan sayap-sayap di Perak di Pejabat Bersatu Perak di sini pada Sabtu.

IPOH - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tambun.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Perak, Pazli Abdullah Sani berkata, selain Tambun, terdapat 14 lagi bahagian yang menyaksikan keputusan menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua bahagian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bahagian-bahagian tersebut ialah Pasir Salak, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Gopeng, Larut, Lenggong, Bagan Serai, Parit, Tanjung Malim, Bagan Datuk, Bukit Gantang, Beruas, Padang Rengas dan Parit Buntar.

"Sukacita diumumkan bagi jawatan ketua bahagian terdapat 15 bahagian yang hanya menerima satu borang pencalonan yang layak bertanding. Ini termasuk Bahagian Tambun di mana Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu iaitu Ketua Badan Pimpinan Negeri Perak merupakan calon tunggal untuk jawatan ketua bahagian.

Iklan

"Terdapat tujuh bahagian yang akan menyaksikan pertandingan di peringkat ketua bahagian iaitu Bahagian Batu Gajah, Kampar, Kuala Kangsar, Taiping, Gerik, Sungai Siput dan Lumut," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Perak di sini pada Sabtu.

Mahader Ahmad (tengah) menyerahkan senarai nama calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini kepada wakil-wakil bahagian Bersatu Perak di Pejabat Bersatu Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Perak, Mohader Ahmad Mohammad Ayob dan Setiausaha JPP Perak, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Iklan

Pazli berkata, JPP Perak menerima senarai layak bertanding bagi 22 bahagian yang terlibat dalam pemilihan tahun ini manakala dua bahagian iaitu Teluk Intan dan Tapah telah diputuskan di peringkat pengurusan parti tidak terlibat dengan pemilihan berkenaan.

Menurutnya, secara keseluruhan sejumlah 1,215 borang pencalonan telah diterima di Perak untuk semua kategori jawatan dan daripada jumlah itu seramai 1,167 calon disahkan layak bertanding oleh JPP Pusat.

Jelasnya, pemilihan parti Bersatu kali ini buat julung kali menampilkan sayap Srikandi Muda di peringkat pusat dan bahagian di Perak melibatkan empat bahagian iaitu Tambun, Kuala Kangsar, Parit dan Kampar akan merebut jawatan sementara bahagian lain tidak terlibat dengan pemilihan.

Katanya, bagi sayap Bersekutu bahagian di Perak pula, hanya tiga bahagian sahaja yang terlibat dengan pemilihan iaitu Ipoh Barat, Gopeng dan Batu Gajah.

"Pengisytiharan kemenangan rasmi calon-calon yang diterima sebagai calon tunggal atau calon cukup bilangan di setiap kategori jawatan di peringkat bahagian sama ada Srikandi, Armada (Angkatan Bersatu Anak Muda), Srikandi Muda dan sayap Bersekutu hanya boleh diumumkan semasa persidangan bahagian masing-masing pada 12 Oktober, 26 Oktober atau untuk bahagian 2 November kelak, bukan hari ini dan tidak boleh diumumkan sehingga hari persidangan bahagian.

"Tarikh pemilihan bagi sayap Bersekutu adalah pada 12 Oktober manakala bagi sayap Srikandi, Armada dan Srikandi Muda pula pada 26 Oktober sementara peringkat bahagian akan berlangsung pada 2 November," katanya.