KUANTAN - Kerajaan Pahang memperluaskan Skim Tanah Rakyat (STR) untuk generasi Felda dengan penambahan 16 kawasan baharu di seluruh negeri.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, penambahan itu melibatkan beberapa kawasan di wilayah Felda seperti Kuantan, Mempaga, dan Jengka.
Menurutnya, skim ini dijangka terus berkembang berdasarkan keperluan dan cadangan yang diberikan oleh pihak pengurusan rancangan di setiap kawasan.
"Felda memiliki 115 tanah rancangan di seluruh negeri, dan skim ini (STR) membolehkan setiap rancangan yang mempunyai tanah dapat menyediakan tanah untuk anak-anak peneroka Felda.
"Kita akan melihat kepada rancangan felda yang masih mempunyai tanah terlebih dahulu, dan permohonan bergantung kepada pengurusan rancangan masing-masing. Ada kawasan Felda yang mungkin tiada tanah untuk diberikan, jadi kita akan utamakan yang masih memiliki tanah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Kayuhan Berinformasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2024 bertempat di Felda Bukit Sagu, di sini pada Sabtu.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok, Pengarah Wilayah Felda Wilayah Kuantan, Dr Muhamad Saiful Hassan dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.
Amizar memberitahu, sebelum ini, terdapat 18 kawasan disenaraikan dalam skim terbabit dan permohonan itu dibuka kepada generasi baharu Felda.
"Permohonan masih berjalan dan pemohon dalam proses untuk mendapatkan geran tanah melalui Felda selepas semua prosedur dipenuhi," katanya.
Mengulas lanjut mengenai program kayuhan informasi AADK, Amizar memberitahu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua agensi terlibat bagi membendung kegiatan penagihan dadah terutamanya dalam kalangan warga Felda.
Jelasnya, antara agensi yang terlibat termasuklah dari pihak Kementerian Pendidikan bagi memberi kesedaran bahaya dadah sedari peringkat awal.
"Kita telah menggerakkan komuniti terutama sekali dalam kawaan Felda untuk menggerakkan jawatankuasa masing-masing untuk membanteras najis dadah ini bermula daripada rumah dan kemudiannya kita bawa ke peringkat sekolah.
"Dua minggu lalu, kita telah bertemu dengan pihak Kementerian Pendidikan bersama agensi-agensi terlibat ini untuk kita selaraskan program bagi kita nampakkan impak yang lebih baik bermulanya dari rumah dan sekolah,” jelasnya
Sehubungan itu, Amizar berkata, setakat ini pendekatan tersebut banyak membantu dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah.