SHAH ALAM - Pertandingan Bowling Mahabbah Muslimin Surau-Surau Putrajaya@MTMZA 2024 anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) yang berlangsung pada Sabtu berjaya memperoleh penyertaan daripada 23 pasukan.
Ketua Unit Dakwah dan Komunikasi MTMZA, Rashidi Salleh berkata, program tersebut merupakan acara tahunan yang bertujuan mengeratkan ukhuwah dan mahabbbah (kasih sayang) antara surau di Putrajaya dengan masjid berkenaan.
"Walaupun hadiah yang ditawarkan tidak besar, namun setiap pasukan nampak bersungguh-sungguh mencapai jatuhan pin tertinggi. Sambil bersukan kita memupuk semangat berpasukan.
"Bagi kategori johan acara berpasukan dimenangi oleh Surau Al-Musthofa Fasa 4 Presit 9, manakala naib johan dirangkul Surau Al-Manar Presint 14 dan tempat ketiga pula dimiliki Surau Saidina Umar Presit 8.
"Untuk kategori individu dipilih menerusi 10 jatuhan pin tertinggi dan tempat pertama dimenangi, Surau Al-Quddus PPAM Saderi, seterusnya Surau Silaturrahim Presit 11 (kedua) dan Surau Al-Musthofa Fasa 4 Presit 9 (ketiga)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, acara berkenaan berlangsung di Wangsa Bowl, IOI City Mall Putrajaya itu menyaksikan persaingan antara 23 pasukan terdiri daripada surau di Putrajaya dan juga pasukan Masjid Besi serta Masjid Putra.
Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang yang berjaya pada tahun ini.
"Semoga kejohanan ini diberkati dan mengeratkan lagi jalinan mahabbah antara Surau-Surau Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
"Sukan merapatkan ukhuwah dan kekuatan ukhuwah merancakkan tarbiah agar rumah ibadah terus imarah,” tambah beliau.