LTdL 2024: Nur Aiman Zariff reda tiada penamat podium

Iklan
Peloton pelumba melalui laluan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi 2024 peringkat ketujuh (Miri - Bintulu) sejauh 199.3 KM hari ini. - Foto: Bernama

PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff reda tidak berjaya merealisasikan impian menaiki podium pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang berbaki satu peringkat esok.

Bagaimanapun, pelumba berusia 27 tahun itu berkata, dia masih boleh berbangga dengan kejayaan meraih gelaran ‘pelumba paling agresif’ pada peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu hari ini, sekali gus menyuntik semangatnya untuk menamatkan jelajah berbasikal berprestij itu.

Iklan
Iklan

"Hari ini saya memang sasarkan untuk podium (peringkat ketujuh). Sepanjang tiga hari ini, saya tengok pasukan profesional memberikan 100 peratus dalam perlumbaan dan sejak awal lagi memang (pelumba lain) dah agresif dan cuba untuk membuat pemecahan.

"Walaupun tidak dapat podium hari ini, syukur alhamdulillah ada sesuatu yang bermakna untuk saya bekerja kuat esok. Saya mendapat sesuatu daripada perlumbaan ini,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Nur Aiman Zariff menamatkan perlumbaan peringkat ketujuh sejauh 199.3 kilometer (km) di kedudukan ke-66 dengan catatan masa 4 jam 18 minit dan 03 saat (s).

Sebelum ini, rakan sepasukannya Nur Amirull Fakhruddin Mazuki meraih gelaran sama pada peringkat kedua dari Arau ke Butterworth.

Iklan

Dalam pada itu, Nur Aiman Zariff berkata keadaan cuaca yang diselangi dengan hujan dan panas menggugat peluangnya untuk melakukan kayuhan sempurna pada peringkat ketujuh.

"Hujan sejak awal perlumbaan lagi dan ada tempat yang panas dan kemudian hujan semula. Kami kehabisan tenaga dengan keadaan cuaca begini.

"Sejak awal saya memang bergelut untuk kekal di hadapan. Saya terus mencuba dan pada 20km terakhir tadi cuba kejar kelompok besar pelumba dan bersedia untuk ke garisan penamat,” katanya.

Perlumbaan kemuncak esok mengeliling Bintulu sejauh 147.5km, menawarkan tiga zon pecutan di Kem Batu 18, Lasar Kenyalang 1 dan Lasar Kenyalang 2.