Penjual santan didakwa sebar berita palsu koronavirus

Iklan
Tertuduh (tengah) dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan penyebaran berita palsu berkaitan wabak koronavirus.

KUALA TERENGGANU - Seorang penjual santan didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana menyebarkan berita palsu berkaitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) menerusi laman sosial pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, Marzuki Abdullah, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nordiana Abd Aziz hari ini.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membuat kenyataan di Facebook Gabungan Anak Terengganu Original (Gate) mengenai penularan koronavirus yang melibatkan kemasukan pesakit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan niat atau mungkin mendatangkan ketakutan kepada orang awam.

Kesalahan dikhuatiri mendorong mana-mana individu itu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Ladang Tok Pelam jam 8.22 pagi pada 27 Januari lalu dengan menggunakan akaun Facebook Ali Dapicey.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (KK) dengan memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Nor Nabihah Hanim Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hafizuddin Abdul Haris.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan kes disebut semula pada 3 Mac ini.

Tertuduh sebelum ini ditahan pada 2 Februari lalu atas dakwaan menyebarkan berita palsu.