PERLAWANAN tertunda Liga Super di antara Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak di sini sekali lagi ditangguhkan akibat cuaca hujan dan permukaan padang yang tidak mengizinkan.
Situasi itu nyata mengecewakan kedua-dua penyokong yang sudah berada di pekarangan stadium seawal jam 5 petang.
Perlawanan asal dijadual bermula jam 8.15 malam namun ditangguh ke jam 8.45 malam.
Ketika hujan mulai reda, sekali lagi tumpuan penyokong tertumpu ke arah papan skor di dalam stadium yang memaklumkan perlawanan ditangguhkan ke jam 9.15 malam.
Ketika pengumuman penangguhan perlawanan itu tertera, penyokong yang berada di dalam bersorak memberi reaksi penangguhan perlawanan tersebut.
Terdahulu pemain kedua-dua pasukan kelihatan memanaskan badan di atas padang biarpun dalam suasana hujan renyai.
Sehubungan penangguhan perlawanan tersebut, pihak Malaysia Football League (MFL) akan menentukan tarikh baharu perlawanan.
Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu pada 17 Ogos lalu dengan hanya sempat bermain tidak sampai empat minit sebelum perlawanan ditangguhkan di Stadium Perak.
Keputusan itu dibuat oleh pengadil perlawanan atas faktor hujan lebat dan padang yang digenangi air memaksa perlawanan ditukar ke 5 Oktober ini.