TEHERAN - Seorang penganalisis Arab percaya bahawa Operasi Ribut Al-Aqsa, yang dilancarkan oleh pergerakan perjuangan Palestin, Hamas, di wilayah selatan yang diduduki Israel pada Oktober tahun lepas, mencetuskan perubahan ketara dalam persamaan pertempuran, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).
Penganalisis politik Marwan Al-Aqra berkata, operasi itu menghidupkan kembali isu Palestin dari segi politik dan mewujudkan pandangan bahawa kumpulan berkenaan dapat membawa perubahan asas dalam pertempuran dengan Israel, menurut laporan IRNA memetik agensi berita Palestin, Shehab, pada Sabtu.
Al-Aqra menjelaskan bahawa Hamas menunjukkan kemampuannya untuk mengubah dinamik pertempuran.
"Apa yang dicapai oleh penentangan pada 7 Oktober adalah contoh jelas tentang perubahan asas dalam persamaan pertempuran," katanya.
Beliau meluahkan kekesalan bahawa hampir setahun selepas konflik bermula, jumlah kematian di Gaza telah melebihi 41,000 dan ratusan ribu cedera, rumah dan masjid musnah, sementara masyarakat antarabangsa kekal berdiam diri.
Al-Aqra menyifatkan Operasi Ribut Al-Aqsa sebagai kejayaan ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Israel, menekankan bahawa ia telah meletakkan rejim Israel di laluan kemerosotan, satu pandangan yang semakin dikongsi bahkan di dalam Israel sendiri.
"Ini adalah kebimbangan terbesar Israel, yang memburukkan lagi mimpi ngerinya," katanya. - Bernama