Umat Islam perlu faham makna perpaduan, elak kecelaruan, perpecahan - PM

Iklan
Anwar menghadiri Majlis Pembukaan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 Tahun 1446H/2024M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata umat Islam perlu memahami maksud dan keperluan perpaduan yang menjadi prasyarat penting dalam usaha membangunkan ekonomi negara.

Beliau berkata, kecelaruan dan perpecahan yang berlaku dalam negara Islam boleh dijadikan gelanggang untuk musuh menyerang, menghina dan menjajah seperti yang berlaku di Gaza dan kini menjalar ke Lubnan.

Iklan
Iklan

Anwar berkata, umat Islam juga perlu memiliki kefahaman, kesabaran serta kebijaksanaan dalam mengambil sebarang langkah kerana kekuatan sesebuah negara itu akan menjadi tonggak untuk ke langkah seterusnya.

"Sebab itu dalam Kerajaan Madani kita mulakan dengan memupuk perpaduan yang kental dalam kalangan kita, menjamin supaya ada persefahaman dan perdamaian antara umat Islam dan bukan Islam di negara kita.

Iklan

"Itu prasyarat untuk bangunkan ekonomi yang kita sebut mampan, bukan sekadar ekonomi kukuh tetapi beri keselesaan dan jaminan kepada rakyat miskin bandar, desa dan pedalaman dan masyarakat lain yang rasa terpinggir,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa ke-64 (MTHQA) di Pusat Dagangan Dunia di sini, malam ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Iklan

Selain itu, Anwar memohon kebijaksanaan orang ramai supaya memahami konsep negara Madani yang digagaskan pentadbirannya kerana tidak banyak negara mempunyai pendekatan sedemikian.

"Saya mohon kebijaksanaan supaya negara Madani ini dimengertikan kerana tidak banyak negara mempunyai ruang, kesempatan dalam kerukunan hidup yang damai meletakkan asas ekonomi kukuh dan kini telah mendapat perhatian dalam pelbagai bidang,” katanya.

Perdana Menteri juga mengulangi gesaan supaya umat Islam terus meneroka bidang baharu yang dahulunya asing kerana ia akan menentukan kekuatan masa kini dan hadapan.

Beliau berkata, disebabkan itu, kerajaan komited untuk memastikan hampir 200,000 pelajar tahfiz di seluruh negara ketika ini diperkasa dengan keupayaan teknikal dalam pelbagai bidang seperti tenaga, digital dan juga kecerdasan buatan (AI).

"Yang kita mohon adalah pengertian dan kebijaksanaan kerana pemikiran jumud akan tenggelamkan kita. Di samping itu, pemikiran dan langkah yang gopoh, dan tidak bijaksana juga akan menghambat dan menjadi cabaran kepada kita,” katanya.

Mengenai MTHQA ke-64, Anwar berharap penganjurannya dapat membangkitkan dan mengangkat martabat umat Islam ke tahap lebih mulia serta membanggakan.

Bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’, MTHQA ke-64 melibatkan 92 peserta dari 71 negara terdiri daripada 53 peserta tilawah dan 39 hafazan.

Pengurniaan hadiah kepada johan tilawah dan johan hafazan al-Quran akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 12 Oktober ini.