Tiada kaitan pelantikan CEO MDEC, Anuar Fariz bukan adik saya - Fahmi

Iklan
Fahmi Fadzil bercakap pada Sesi Sembang Santai bersama Komuniti Madani Pulau Pinang malam ini. - Foto: Bernama

GEORGE TOWN - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil merupakan adiknya.

Beliau berkata, MDEC yang merupakan agensi peneraju ekonomi digital negara bukan di bawah Kementerian Komunikasi sebaliknya di bawah Kementerian Digital yang diterajui Gobind Singh Deo.

Iklan
Iklan

"Anuar Fariz Fadzil tiada apa-apa kaitan dengan saya, nama sahaja sama, sepupu pun bukan, bau-bau bacang pun tiada. Saya tiada kaitan dengan pelantikan itu.

"Semua yang cuba membuat fitnah, saya harap mereka sedarlah, jangan terlalu mudah untuk menabur fitnah dan ini adalah pengajaran untuk kita semua supaya sentiasa berwaspada dengan maklumat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Sembang Santai bersama Komuniti Madani Pulau Pinang di Kampung Batu Uban, Gelugor malam ini.

Iklan

Fahmi juga menegaskan dua adik-beradiknya yang masing-masing bekerja dengan syarikat pembuatan bahan kimia dan pemuzik tidak pernah menerima sebarang bantuan atau peruntukan daripada mana-mana agensi di bawah Kementerian Komunikasi sejak beliau menerajuinya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan latar belakang Anuar Fariz yang mengaitkan dengan beliau susulan tular menerusi media sosial kononnya adik beliau dilantik sebagai CEO MDEC.

Iklan

Khamis lepas, MDEC melantik bekas Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Anuar Fariz sebagai CEO yang baharu, menggantikan Mahadhir Aziz yang tamat penggal jawatan CEO pada 31 Ogos lepas.

Sementara itu, Fahmi berkata, kementeriannya belum memutuskan mengenai pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) baharu dan prosesnya masih berjalan.

Pada 25 September lepas, Fahmi mengesahkan Ketua Pengarah JKOM, Mohd Khairuddin Othman telah ditamatkan perkhidmatannya pada 24 September lepas, namun tidak menjelaskan lebih lanjut berkaitan perkara itu.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM sejak 1 Mac, bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Mengenai siasatan dakwaan melakukan gangguan seksual Mohammad Agus, Fahmi berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada pihak yang melakukan siasatan kes berkenaan setakat ini. - Bernama