SHAH ALAM - Program The Palestinian Diaries: A Day of Culture, Stories and Solidarity anjuran Sinar Daily lebih istimewa kali ini dengan kehadiran tetamu undangan iaitu Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali pada 8 Oktober ini di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.
Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman berkata, acara itu bakal mengetengahkan pelbagai topik menarik termasuk isu kemanusiaan, situasi terkini di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, krisis dihadapi rakyat Palestin serta sesi soal jawab secara bersemuka dengan Walid.
"Tujuan utama kami adalah untuk menyampaikan fakta tentang apa yang berlaku di sana bahawa ia bukan konflik agama, sebaliknya krisis kemanusiaan.
"Melalui pertukaran pandangan ketika program ini, kami harap pengunjung dapat memahami bahawa banyak mesej dari sana ‘disenyapkan’ oleh media sosial, oleh itu kami mahu orang ramai tahu realiti sebenar di sebalik konflik yang sering disalah tafsir.
"Ada sesi soal jawab khas bersama Walid dan pengunjung boleh bertanyakan soalan terus kepadanya. Kami juga akan menayangkan filem pendek oleh pencipta kandungan, Yusuf Omar tentang gambaran semangat serta perjuangan Palestin,” katanya kepada Sinar Ahad.
Acara tersebut bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 6 petang.
Masuk adalah percuma dan penyertaan boleh dibuat secara RSVP melalui pautan di Instagram @sinardailymy.
Selain itu, peserta program berpeluang menikmati budaya Palestin melalui fesyen, makanan dan muzik sepanjang sesi terbabit berlangsung.
Tayangan ulang atau informasi berhubung The Palestinian Diaries boleh didapati di laman sesawang, Instagram, Facebook dan platform penstriman Spotify serta Apple Podcast Sinar Daily.
Tasnim memberitahu, program yang julung kali diadakan secara fizikal itu sempena memperingati satu tahun peristiwa serangan balas gerakan Hamas ke atas Zionis Israel pada 7 Oktober 2023 lepas.
Tambah beliau, podcast tersebut membawakan beberapa panel dan mangsa genosid yang akan berkongsi kisah menyayat hati dengan harapan rakyat Malaysia dapat memahami kehidupan sebenar dialami mereka.
"Jika mahukan maklumat lebih daripada sekadar berita semasa, boleh tonton The Palestinian Diaries yang akan memberikan penjelasan mengenai isu Palestin dengan format penceritaan lebih mudah difahami,” ujarnya lagi.