JIKA diukur kembali, penglibatan wanita ini dalam industri seni bukan baharu bermula setahun dua.
Sebaliknya sudah banyak onak ranjau yang dilalui semenjak dua dekad atau lebih tepat sejak menjadi juara Mentor musim pertama pada tahun 2005.
Gelaran juara yang diterima tidak menjadi laluan mudah buat Norafizah Mohd Yasin atau lebih dikenali dengan nama pentas Pija Mentor atau Pija Yasin.
Seiring perkembangan industri seni dan sebaik beliau membuat keputusan untuk berkahwin, perlahan-lahan wanita ini hilang dari radar industri seni.
Meskipun masih menerima tawaran nyanyian terutama di negeri kelahirannya, Sabah, tetapi kilauan populariti itu tidak seterang dahulu.
Dugaan buat wanita yang kini berusia 35 tahun tidak berakhir di situ, tatkala diuji masalah rumah tangga, beliau kehilangan insan tersayang dalam tempoh yang agak rapat.
"Sebelum kehilangan ahli keluarga, saya diuji dengan masalah rumah tangga yang akhirnya membuatkan saya menjadi ibu tunggal. Tidak berakhir di situ pada awal tahun 2023, ayah meninggal dunia, diikuti kakak kelima kerana kanser dan kakak keempat kerana pendarahan dalam otak.
"Ketika kami sekeluarga masih bergelut dengan kehilangan, emak pula menghembuskan nafas terakhir tidak sampai dua bulan selepas anaknya pergi.
"Pemergian mereka membuatkan saya rasa berada dalam titik terendah dalam hidup. Saya kemurungan, mudah marah. Ibarat bergelut dengan hidup sendiri,” ujarnya mengimbau semula detik pahit itu.
Tidak mahu terus hanyut, Norafizah kini bangkit dengan nama baharu, Ora Fiza nekad untuk kembali mewarnai industri seni.
Memegang kejap nasihat kedua-dua arwah orang tuanya untuk meneruskan kehidupan tidak kira apa jua halangan yang datang.
"Arwah ayah dan emak ketika hayatnya sering berpesan dan memberi kata semangat untuk saya bangkit dan teruskan kehidupan.
"Mereka kata saya masih mempunyai kaki tangan untuk bekerja, punya suara kurniaan ALLAH SWT jadi mengapa perlu dipersiakan.
"Jadi bila bertemu dengan syarikat pengurusan Super Red Records, saya nekad untuk kembali aktif,” ceritanya.
Refleksi
Sebagai permulaan langkah baharu, Ora Fiza mempertaruhkan single Bangunlah yang telah digubah dan ditulis oleh John Jeeves dan Shazriq Azeman.
Lagu yang disifatkan sebagai refleksi kehidupan dan sarat dengan mesej kebangkitan dan kekuatan. Ia menggambarkan perjalanan hidup Ora Fiza yang penuh cabaran, tetapi tetap teguh dalam mengejar impian.
"Ketika pertama kali mendengar lagu ini yang dinyanyikan oleh Shazriq, saya menangis. Liriknya betul-betul menggambarkan kehidupan saya.
"Saya sangat gembira akhirnya dapat menghadiahkan Bangunlah kepada peminat-peminat saya serta orang-orang penting yang sangat teguh menyokong kerjaya seni saya.
"Lagu ini mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia adalah refleksi kepada perjalanan hidup saya yang penuh dengan jatuh bangun. Saya harap ia memberi inspirasi semua pendengar untuk terus maju dan mencapai potensi sebenar mereka,” katanya yang merancang untuk tampil dengan single kedua.
Bangunlah sudah tersedia untuk penstriman dan muat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Biarpun masih bergelut untuk membawa nama baharu dalam industri seni, Ora Fiza berkata, beliau tidak akan sesekali memilih jalan mudah iaitu menerusi ciptaan kontroversi murahan untuk dikenali.
"Sejak dahulu lagi, bila saya tidak dapat apa yang saya mahu, saya anggap belum rezeki buat saya.
"Istilah untuk cipta kontroversi bagi dikenali tidak ada dalam hidup saya. Biarlah perjalanan seni saya lebih berkat dan saya percaya, bila rezeki sudah sampai, orang akan mengenali saya,” jelasnya yang mengagumi Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul.