Enam sekeluarga rakyat Malaysia selamat tiba di KLIA dari Lubnan

Iklan

SHAH ALAM - Enam sekeluarga rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air dari Lubnan, susulan proses pemindahan berikutan keadaan keselamatan yang semakin membimbangkan di negara itu.

Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, kesemua mereka tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai enam orang lagi turut dijadualkan tiba di Malaysia pada malam Ahad.

"Ini menjadikan jumlah rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang berjaya dievakuasi keluar dari Lubnan dalam tempoh dua hari yang lalu seramai 17 orang.

Iklan

"Walaupun keadaan semakin mencabar di Lubnan, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berjaya mengaturkan penerbangan pulang ke Malaysia bagi semua baki rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan.

"Mereka dijangka tiba di Malaysia secara berperingkat pada hari Isnin dan Selasa minggu ini," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Api dan asap meningkat di kawasan yang menjadi sasaran serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut. Foto AFP

Malaysia telah melaksanakan proses pemindahan rakyatnya dari Lubnan berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat.

Pada Jumaat, KLN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya melalui Kedutaan Besar di Beirut sedang melaksanakan proses evakuasi 15 rakyat Malaysia bersama tiga warga asing yang juga pasangan kepada rakyat Malaysia berikutan keadaan keselamatan semakin meruncing di negara itu.

Sebelum ini sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan negara itu secara sukarela manakala empat lagi memilih untuk terus kekal di Lubnan.

Dalam kenyataan sama, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat ke atas Lubnan.