Elak anjur program cetus polemik, gugat Islam - Mohd Na'im

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Na'im)

SHAH ALAM - Semua pihak perlu sentiasa menghormati serta memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum-hakam dan nilai fitrah insan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, sebarang acara yang boleh mencetuskan polemik serta menggugat kedaulatan agama Islam perlulah dielakkan sama sekali.

Iklan
Iklan

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil maklum kenyataan media Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) yang jelas menyatakan bahawa acara larian tersebut tidak dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor mahupun mana-mana agensi kerajaan Johor.

"Kami menyokong penuh ketegasan kerajaan Johor yang telah meminta siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, tular video mengenai segelintir peserta larian antarabangsa di sebuah hotel di Desaru Kota Tinggi, Johor yang berpakaian tidak senonoh dan berunsur lucah.

Video yang dikongsikan di Facebook itu kemudiannya dikecam pelbagai pihak susulan perbuatan yang tidak sensitif tersebut.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, semua pihak diseru agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini.

Menurutnya, perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilapor berkata, penganjur program yang mencetuskan kontroversi itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan awal dijalankan mendapati hanya segelintir peserta larian antarabangsa di Kota Tinggi itu berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Namun, siasatan tetap dijalankan terhadap penganjuran program larian berkenaan kerana menyentuh sensitiviti kaum dengan kelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.