GISBH: Anak sah taraf dan wati' syubhah ada kesan perundangan berbeza

Iklan
Sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berdepan risiko diisytihar sebagai anak wati’ syubhah, iaitu lahir daripada persetubuhan tidak sah jika tiada pengakuan nasab sahih daripada ibu bapa. Gambar kecil: Zainul Rijal.

SHAH ALAM - Kategori anak sah taraf, tak sah taraf atau wati’ syubhah mempunyai ramifikasi perundangan yang berbeza dalam hukum syarak.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pertama sekali dari sudut syariah adalah menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga mencapai ketepatan 99.9 peratus bagi mengesahkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

Iklan
Iklan

Selain itu, menurutnya, walaupun hak untuk menolak pungutan sampel DNA masih dibuat oleh sesiapa sahaja mengikut seksyen 13 (7) Akta DNA 2009, pihak berkuasa boleh berbuat demikian untuk tujuan siasatan, lebih-lebih lagi terhadap orang yang disyaki (OYDS), tahanan atau banduan.

"Setelah dipastikan ibu bapa biologi mengikut keputusan DNA tersebut, barulah dilihat kepada upacara perkahwinan mereka sama ada mengikut undang-undang dan hukum syarak.

Iklan

"Jika tidak mengikut undang-undang, tetapi sah mengikut hukum syarak, satu perintah dari mahkamah syariah mestilah diperoleh bagi mendaftarkan upacara perkahwinan, seterusnya kesahtarafan anak.

"Kalau perkahwinan tersebut didapati tidak mengikut hukum syarak, mahkamah kemudian akan mengisytiharkan anak-anak ini sebagai anak tak sah taraf atau wati’ syubhah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas isu sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berdepan risiko diisytihar sebagai anak wati’ syubhah, iaitu lahir daripada persetubuhan tidak sah jika tiada pengakuan nasab sahih daripada ibu bapa.

Ia kerana menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, dalam undang-undang syariah khususnya melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 menetapkan bahawa pengiktirafan nasab anak bergantung kepada status pernikahan ibu bapa.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak rumah amal tersebut turut menjadi mangsa eksploitasi, penderaan dan pengabaian, malah tidak dibayar gaji sama sekali.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal memaklumkan, setelah penentuan nasab dipastikan, timbul pula isu hak jagaan kanak-kanak berkenaan kerana dalam Islam, terdapat banyak jusrisprudens atau kajian prinsip undang-undang yang membicarakan perkara sama seperti al-Wilayah dan al-Kafalah.

Tambah beliau, ketiga-tiga konsep itu mungkin relevan dengan situasi yang dialami kanak-kanak GISBH buat masa ini.

"Justeru, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mungkin boleh mengumpulkan satu dana untuk penjagaan kanak-kanak ini di beberapa pusat tertentu dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Walau apa pun status anak tersebut, kebajikan mestilah dipelihara. JKM mungkin tidak dapat menampung bilangan kanak-kanak terlibat, oleh itu wujudkan tempat khusus untuk buang indoktrinasi dan tanggalkan ‘jubah kesesatan’ ini.

"Pihak imigresen dan pejabat kedutaan Malaysia di luar negara juga berperanan untuk memastikan anak-anak tempatan di luar negara yang terbabit kepercayaan GISBH dibawa pulang ke tanah air serta diberi pendidikan sewajarnya," ujar beliau.