Suspek bunuh bapa sempat beli pisau lipat sebelum ditemui rebah

Iklan
Pegawai perubatan membuat pemeriksaan terhadap suspek yang terbaring di tepi jalan. Foto tular

KUALA PILAH - Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang didakwa membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Senaling di sini pada Sabtu sempat membeli pisau lipat di sebuah kedai di Pekan Senaling, sebelum tiba-tiba rebah di tepi jalan.

Peniaga, Lee Kien Huei, 40 berkata, suspek pada awalnya datang ke kedainya mahu membeli pisau, namun dia memberi alasan yang senjata itu tiada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia memberi alasan berkenaan kerana telah mengetahui kejadian berlaku selepas dimaklumkan oleh polis.

"Bila saya nampak dia tak jauh dari kedai saya, saya segera hubungi polis. Suspek kemudian masuk kedai saya nak beli pisau, tapi saya minta dia pergi kedai lain dan beri alasan pisau tiada.

Iklan

"Masa itu saya tengok dia sudah 'lain macam' dan mulutnya juga berdarah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Lokasi suspek rebah selepas membeli pisau lipat di sebuah kedai serbaneka

Ujarnya, suspek kemudiannya dilihat pergi ke kedai bersebelahan dan membeli pisau di situ, namun tiba-tiba rebah di tepi jalan.

Iklan

Tambahnya, pada waktu sama polis pun tiba di lokasi kejadian dan selepas pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia dengan keadaan mulutnya berbuih.

Sementara itu katanya, dia mengenali suspek sebagai anak kepada mangsa yang merupakan pesara guru, malah turut mengetahui yang suspek turut mempunyai masalah mental.

"Tapi dia tak pernah kacau orang pun. Ada juga datang kedai saya sekali sekala dan dia nampak macam orang normal saja.

"Saya juga agak baik dengan arwah kerana dia selalu datang ke kedai saya dan berita kejadian berlaku sangat mengejutkan kami," katanya.

Selain itu, anak murid kepada isteri Allahyarham, yang mahu dikenali sebagai Aina, 24, menyifatkan pasangan suami isteri itu sebagai orang yang baik, malah sering membantunya.

Katanya, dia turut mengetahui yang mereka mempunyai anak yang mempunyai masalah mental.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki warga emas yang merupakan pesara guru maut akibat ditikam anaknya yang juga pesakit mental di rumah mereka.

Kejadian jam 4.30 petang itu dikatakan berlaku ketika mangsa cuba memujuk suspek yang cuba membunuh diri.

Selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta dan berjaya ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih.

Motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri, namun semasa dipujuk oleh mangsa, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa.