Larian songsang bercanggah agama, undang-undang - Khairuddin

Iklan
Acara larian songsang dengan berpakaian tidak senonoh dan lucah sebagai normalisasi pada mana-mana kumpulan seks songsang adalah bercanggah dengan undang-undang di negara ini.

SHAH ALAM - Acara larian songsang dengan berpakaian tidak senonoh dan lucah sebagai normalisasi pada mana-mana kumpulan seks songsang adalah bercanggah dengan undang-undang di negara ini.

Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia mempunyai undang-undang yang menjaga kesucian agama dan adab ketimuran.

Iklan
Iklan

"Tahniah kepada pihak polis Johor yang segera menyiasat. Tindakan dan hukuman tegas mesti dikenakan kepada individu dan pihak terbabit.

"Langkah ini perlu sebagai satu mesej tegas kerajaan bahawa perkara sebegini tidak akan dibenarkan dalam Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, tular video mengenai segelintir peserta larian antarabangsa di sebuah hotel di Desaru Kota Tinggi, Johor yang berpakaian tidak senonoh dan berunsur lucah.

Video yang dikongsikan di Facebook itu kemudiannya dikecam pelbagai pihak susulan perbuatan yang tidak sensitif tersebut.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan pihaknya menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi pada Sabtu.

Beliau berkata, dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Kota Tinggi kira-kira jam 10 malam bagi membantu siasatan.