KUALA NERUS - Keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mahu membawa suara yang kuat bagi membantu pengurusan parti berkenaan.
Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menetapkan pendirian bahawa beliau tidak akan menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan tersebut meskipun berdepan persaingan daripada lima calon yang lain bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti berkenaan bagi 2024-2027.
"Kita dah masuk (bertanding) maka tak ada istilah nak tarik balik dan teruskan sahaja untuk sama-sama membantu parti.
"Sebenarnya dahulu saya ada berhasrat untuk calonkan diri sebagai Naib Presiden tetapi dalam pertengahan itu ada perundingan dan saya hentikan hasrat.
"Jadi kali ini saya melihat saya kena masuk balik (bertanding jawatan Naib Presiden) dan tidak ada kena mengena langsung dengan perbincangan (bersama Presiden parti) atau pakatan mana-mana pihak.
"Ini adalah pendirian saya sendiri kerana saya juga merupakan antara pengasas parti dan mempunyai jawatan-jawatan yang mana asalnya daripada parti. Jadi
saya kena berkhidmat pada parti untuk beri pulangan balik pada parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu International Paramotor Callenge di Dataran Drawbridge di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Razali menyatakan jawatan Naib Presiden dilihat sebagai suatu jawatan yang bersesuaian terhadap dirinya untuk berkhidmat kepada Bersatu.
"Saya pernah menjadi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama dua penggal, Ketua Penerangan Bersatu pun dah.
"Jadi jawatan Naib Presiden ini merupakan suatu jawatan yang boleh mempunyai suara agak kuat untuk membantu parti dan juga membantu pengurusan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung bagi memastikan kelangsungan parti tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Razali menyatakan pertembungannya dengan calon lain bagi merebut jawatan Naib Presiden disifatkan sebagai suatu pertandingan yang sihat.
"Persaingan itu macam biasa. Kalau kita kata persaingan itu berat seolah-olah ia bukan pemilihan.
"Ini pertandingan dalam kelompok kita, dalam keluarga kita dan kita buat persaingan itu adalah persaingan yang ceria.
"Jadi kita serahkan pada perwakilan untuk pilih calon yang mana yang sesuai untuk dijadikan Naib Presiden bagi membantu Presiden, Timbalan Presiden dan parti," jelas beliau.
Pada Jumaat lepas, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad memaklumkam enam calon layak bertanding termasuk penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; A’ziss Zainal Abidin; Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah untuk memenuhi tiga jawatan Naib Presiden dipertandingkan itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Bersatu manakala Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi 2024-2027.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, persidangan sayap-sayap Bersatu peringkat Bahagian akan berlangsung pada 12 dan 26 Oktober, sebelum diakhiri dengan Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu pada 2 November.
Ahmad Faizal berkata, persidangan semua peringkat bahagian pada tahun ini akan melibatkan agenda pemilihan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Sayap Bahagian, Ahli MPT serta Sayap-sayap Peringkat Nasional.