KANGAR - Kerajaan Perlis bersedia membatalkan sebarang program berskala besar di negeri ini sekiranya wabak koronavirus semakin menular.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, antara program berskala besar yang bakal diadakan di Perlis adalah Pesta Angin Timur 2020 (PAT2020) dan Perlis Marathon 2020 yang dijangka diadakan pada awal April depan.
Katanya, keputusan mengenai pembatalan program berkenaan hanya akan dibuat selepas dimuktamadkan dalam satu mesyuarat induk khas dalam masa terdekat.
"PAT2020 yang bakal berlangsung di Kampung Oran, Mata Ayer pada 28 Februari hingga 1 Mac akan diteruskan mengikut jadual.
"Setakat ini jadual PAT2020 masih ada, namun kita akan mengadakan satu mesyuarat induk dalam masa terdekat untuk melihat sebarang risiko yang perlu dihadapi dalam penganjurannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis di sini semalam.
Hadir mencemar duli pada majlis itu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Azlan berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan dari Jabatan Kesihatan Perlis dan akan mengambil keputusan selaras dengan saranan pihak tersebut.
"Kita tidak akan mengambil sebarang risiko untuk peserta dan pengunjung terkena virus berkenaan dan kata putus akan dilakukan selepas meneliti input tertentu daripada pihak JKN," katanya.
Menurutnya, keputusan kerajaan Johor membatalkan dua program berskala besar itu dilihat bersesuaian dengan situasi semasa ketika ini sebagai langkah berjaga-jaga.
"Saya boleh faham tindakan itu kerana Johor berada di pintu masuk utama pelancong dari negara berisiko iaitu Singapura.
"Di Perlis kita tidak menerima kedatangan pelancong China yang ramai dan jika ada pun hanya seorang dua sahaja yang kita kesan berisiko baru-baru ini," katanya.
Terdahulu, kerajaan Johor dilaporkan akan menangguhkan semua penganjuran program perhimpunan awam berskala besar sepanjang bulan ini bagi mengelakkan berlaku sebarang risiko penularan wabak koronavirus.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Johor tangguh program libatkan perhimpunan awam