Air busuk warna hitam resahkan penduduk Ijok

Iklan
Mohamad Afandy (kiri) menunjukkan keadaan ban pecah di lembangan Sungai Buloh pada Ahad.

KUALA SELANGOR - Penduduk kampung di Ijok di sini yang dilanda banjir mendakwa kejadian ban pecah di lembangan Sungai Buloh menyebabkan air bertukar warna hitam dan menghanyutkan sisa sampah-sarap.

Seorang penduduk, Mohd Roze Basir, 43, berkata, keadaan itu berpunca apabila air banjir turut membawa pelbagai sampah dari tapak pembuangan haram berdekatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu meresahkan penduduk apabila air berbau busuk sekali gus dibimbangi memberi risiko kepada penyakit berjangkit.

"Mulanya air yang masuk ke rumah jernih, tetapi lama-kelamaan air bertukar warna hitam dan berbau busuk.

Iklan
Tapak pembuangan sampah haram berdekatan di lembangan Sungai Buloh pada Ahad.

"Air yang melimpah ke dalam rumah juga membawa sisa sampah hanyut dan kita bimbang beri kesan kepada kesihatan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Roze yang menetap di Kampung Batu 7 Ijok memberitahu, air mula masuk ke dalam kediamannya kira-kira jam 11 pagi pada Jumaat lalu.

Iklan

"Semasa kejadian saya tiada di rumah kerana ada urusan di luar dan dihubungi isteri memaklumkan rumah dinaiki air.

Air busuk membawa kotoran sampah masuk ke rumah Mohd Roze.

Jelasnya, keadaan banjir termenung berlaku disebabkan kerja-kerja baik pulih ban pecah di lembangan sungai itu masih belum siap sepenuhnya.

"Rumah saya memang sering dinaiki air jika hujan lebat dan kejadian ini antara paling buruk pernah berlaku," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Zharfan Effendy Mohd Tohar, 39, berkata, penduduk tidak tahan dengan bau busuk yang datang dari air yang melimpah di sekitar rumah.

Katanya, pihak berkuasa digesa menangani isu sampah haram di kawasan berhampiran lembangan sungai.

"Kita bimbang air yang melimpah masuk ke rumah penduduk ini tercemar dan boleh mengundang risiko kepada kesihatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Ijok, Mohamad Afandy Mohd Dahlan berkata, ban pecah pada Jumaat itu menyebabkan tiga kampung terjejas.

Ujar beliau, tiga kampung itu ialah di Batu 7 Ijok, Parit Mahang dan Kampung Harmoni.

"Sebanyak dua PPS (pusat pemindahan sementara) dibuka iaitu di SRA (Sekolah Rendah Agama) Ijok dan Dewan Rafulin, Bukit Badong," kata beliau.

Beliau memberitahu, setakat ini seramai 98 mangsa dan 24 keluarga dipindahkan di SRA Ijok.

"PPS Dewan Rafulin pula membabitkan mangsa dan kakitangan dari Pusat Jagaan Warga Tua Jashiera," jelas beliau.

Beliau berkata, pada masa ini, kerja-kerja baik pulih ban pecah sepanjang 15 meter itu sedang dilaksanakan pihak kontraktor bertanggungjawab.

"Ini kejadian kali pertama berlaku sejak ban ini dibina bagi menghalang laluan air dari Sungai Buloh masuk ke parit kampung.

"Saya berharap pihak kerajaan dapat membaik pulih segera ban pecah kerana selagi belum diselesaikan penduduk akan berdepan banjir termenung yang tidak surut," kata beliau.