SEREMBAN - Lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang didakwa membunuh bapanya di rumah mereka di Kampung Senaling di sini pada Sabtu merupakan seorang anak yang baik.
Kenalan keluarga Allahyarham yang tidak mahu dikenali berkata, suspek juga merupakan seorang pelajar yang cemerlang ketika di sekolah.
"Saya boleh katakan dia seorang anak yang baik dan sangat sayangkan ayahnya.
"Suspek ini kembar dan kedua-duanya pelajar cemerlang. Cumanya saya difahamkan dia mula hadapi tekanan ketika di universiti," katanya ditemui di pekarangan Jabatan Forensik di sini pada Sabtu.
Menurutnya, kejadian itu amat mengejutkan mereka dan dia hanya mengetahuinya setelah ia tular di kumpulan WhatsApp penduduk kampung.
Dia juga berharap orang ramai tidak membuat sebarang andaian buruk berhubung kejadian berlaku kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.
Difahamkan jenazah kedua-dua beranak berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senaling.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga emas yang merupakan pesara guru maut akibat ditikam anaknya yang juga pesakit mental di rumah mereka.
Kejadian jam 4.30 petang itu dikatakan berlaku ketika mangsa berusia 65 tahun cuba memujuk suspek yang cuba membunuh diri.
Selepas menikam mangsa, suspek berusia 32 tahun melarikan diri dengan menggunakan kereta dan berjaya ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih.
Motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri, namun semasa dipujuk oleh mangsa, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa.