Nur Adriana Sofea terima insentif RM7,000 daripada PLBNS

Iklan
Nur Adriana Sofea Abdul Hakim (kiri) yang memenangi pingat emas pada temasya Sukma 2024 di Sarawak menerima insentif RM7,000 daripada Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS).

ATLET berbasikal BMX Negeri Sembilan, Nur Adriana Sofea Abdul Hakim, yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak menerima insentif RM7,000 daripada Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS).

Presiden PLBNS, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian insentif itu adalah sebagai penghargaan atas penat lelah atlet berkenaan dalam mengharumkan nama negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemberian insentif kemenangan ini diharapkan dapat memberikan motivasi dan meningkatkan semangat atlet berbasikal lain untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi mencipta banyak kejayaan.

"Malaysia mempunyai sejarah yang baik di peringkat Olimpik, sukan berbasikal negara adalah acara yang menyumbang pingat pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

Iklan

"Prestasi sukan basikal di negeri ini masih boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, dan kita komited melaksanakan perlumbaan Jelajah Negeri Sembilan saban tahun untuk mengilap bakat sedia ada dan mencungkil bakat baharu,” katanya di sini pada Ahad.

Nur Adriana Sofea ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dengan pemberian itu, dan menyifatkan hadiah istimewa buat dirinya dalam arena sukan berbasikal sejak berumur 10 tahun.

Iklan

Atlet berusia 18 tahun itu akan melanjutkan pelajaran di Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Ipoh dalam jurusan Perniagaan Digital pada November ini, berkata insentif berkenaan akan disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Beliau turut menjadikan atlet berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan atlet berbasikal Colombia Mariana Pajon sebagai idola, dan berharap akan lebih cemerlang dalam karier sukan berbasikal pada masa akan datang.

Nur Adriana Sofea berkata dia akan berusaha mempertahankan pingat emas pada Sukma 2026 dan berharap berpeluang beraksi pada Sukan SEA 2027. - Bernama