DUNGUN - Dendam kepada ayah tetapi anak yang jadi mangsa mungkin kata-kata paling sesuai terhadap seorang pemuda apabila dia dibelasah dengan kayu oleh seorang lelaki ketika sedang berjalan kaki ke surau dalam kejadian di Paka, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pemuda berusia 20 tahun tersebut sedang berjalan kaki menuju ke surau berhampiran, tiba-tiba ditahan seorang penunggang motosikal yang memang dikenalinya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek turun dari motosikalnya lalu menghampiri mangsa dan cuba menumbuk mangsa tetapi dia sempat mengelak.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Baharudin berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan rasa tidak puas hati suspek terhadap ayah mangsa yang kononnya menjadi dalang menyebabkan suspek ditangkap polis dan dipenjarakan atas kesalahan dadah.
"Suspek menuduh bapa mangsa yang melaporkan kegiatan salahnya kepada pihak berkuasa sehingga menyebabkan dia ditangkap dan dipenjarakan.
"Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan ayah mangsa, suspek menyimpan rasa tidak puas hati lalu menyerang mangsa untuk melepaskan dendam," katanya.
Pemuda berkenaan membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan kayu.