BAGAN DATUK - [DIKEMAS KINI] Kabinet bersetuju menstruktur semula Lembaga Koko Malaysia dengan memasukkan komoditi kelapa di dalam lembaga tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan penstrukturan tersebut, lembaga tersebut akan dikenali sebagai Lembaga Koko dan Kelapa Malaysia.
Menurutnya, penstrukturan tersebut tidak memerlukan perbelanjaan atau perjawatan tambahan.
"Kita menggunakan perjawatan yang sedia ada dan membawa mereka yang pakar dalam bidang ini yang berada di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) atau di mana-mana institut penyelidikan untuk berada (di dalam lembaga tersebut).
"Ini satu perdekatan di mana kita tidak mahu berlakunya pembaziran, sebaliknya menggunakan sumber yang ada untuk kita manfaatkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Jelajah Hari Terbuka dan Kelapa Fest 2024 di Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, penstrukturan itu bukan hanya memberikan manfaat kepada kelapa di Bagan Datuk sahaja tetapi kelapa di seluruh negara termasuklah di Pantai Barat, Pantai Timur serta di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, sebelum ini perbincangan telah dilakukan untuk mempromosi komoditi kelapa sebagai produk untuk di kawasan desa atau luar bandar.
Menurutnya, ini bagi membantu menambah pendapatan penduduk luar bandar khususnya di kawasan yang mempunyai komoditi kelapa.
Katanya, inisiatif tersebut juga bakal memberi manfaat kepada seramai 215,000 ketua isi rumah yang terlibat secara langsung sebagai pekebun kecil kelapa di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, program Kelapa Fest yang diadakan di Dataran Waterfront Bagan Datuk akan dijadikan acara tahunan.
"Insya-ALLAH kita berazam untuk mengadakan setiap tahun pada minggu pertama bulan Oktober dan kita akan jalinkan kerjasama Unisel (Universiti Selangor) dan juga Persatuan Agropelancongan dan Pejabat Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk mengadakan program ini.
"Tahun hadapan kita akan tambah luaskan penyertaan di dalam bidang ini bagi membawa pengusaha-pengusaha dalam industri kelapa untuk berada di dalam Kelapa Fest ini," katanya.