SHAH ALAM - Mengenang kesusahan nenek yang menjaganya sendirian sejak lahir dalam serba kekurangan, mendorong Muhammad Haikal Daniel Mohd Zainizam untuk mengikuti Bacelor Ekonomi dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Menurut lepasan diploma yang menetap di Paya Jaras, Sungai Buloh itu, dia bertekad untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi mengubah nasib keluarganya.
"Alhamdulillah, saya nekad untuk menyambung pengajian bagi mengubah nasib kami berdua yang kurang berkemampuan disebabkan kemiskinan.
"Hari ini, saya sepatutnya mendaftar di UPM menaiki p-hailing. Namun, dengan bantuan ahli keluarga yang sudi menghantar, saya berjaya mendaftar di UPM bersama-sama nenek.
"Terima kasih nenek kerana sentiasa ada dalam hidup saya dan sering memberi semangat untuk saya lebih berjaya," kata anak sulung daripada dua beradik itu ketika ditemui semasa mendaftar bagi kemasukan pelajar baharu sesi 2024/2025 UPM.
Muhammad Haikal Daniel menambah, neneknya, Normaidia Ahmad merupakan sumber kekuatan utama hingga dia membawanya ke tahap sekarang.
Bekas pekerja kilang itu berkata, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan gembira apabila turut diiringi insan dikasihinya ketika mendaftar untuk meneruskan pengajian.
"Saya berasa sangat sebak melihat nenek sanggup menghantar saya ke UPM walaupun keadaannya sangat uzur," katanya.