RM128 juta diperlukan baik pulih 12 ban rebak di Bagan Datuk

Iklan
Ahmad Zahid (dua dari kiri) melawat Bagan Sungai Tiang di sini sebelum hadir menyempurnakan Perasmian Jelajah Hari Terbuka Unisel dan Kelapa Fest di Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini pada Ahad. Foto FB Ahmad Zahid

BAGAN DATUK - Sejumlah RM128 juta diperlukan bagi membaik pulih 12 ban yang rebak dalam usaha mengatasi banjir di daerah Bagan Datuk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi membaik pulih ban Sungai Tiang Selatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejumlah RM10 juta lagi diperlukan bagi baik pulih ban di Sungai Tiang Utara yang akan dimohon daripada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra).

"Saya ingin menyebutkan terdapat 12 kawasan ban yang telah pecah dan ini memerlukan kos yang cukup tinggi walaupun dua daripada ban itu telah ada (peruntukan) yang saya umum tadi.

Iklan

"Tetapi yang 10 lagi ban memerlukan sekurang-kurangnya RM10 juta setiap satu untuk dibaiki dan ditambah baik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Jelajah Hari Terbuka Universiti Selangor (Unisel) dan Kelapa Fest di Dataran Waterfront Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi tujuan tersebut.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, selain itu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kunci air yang rosak bagi mengelak air laut masuk ke kawasan penempatan penduduk.

"Satu fakta yang harus kita akui bahawa muka bumi Bagan Datuk lebih rendah daripada paras laut. Ketika hujan lebat dan ketika pasang besar, air laut itu melimpah dan merosakkan kawasan tebatan banjir dan juga ban ini.

"Ada dua sebab utama pertamanya kerana perubahan iklim dan yang kedua ialah kerana pemanasan. Dua faktor ini ialah fenomena di seluruh dunia dan Bagan Datuk kurang bernasib baik," kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan jurutera JPS bagi mencari penyelesaian menyeluruh bagi kawasan Bagan Datuk serta kawasan-kawasan lain berkaitan masalah tersebut.