Protes di Pakistan: Petugas media Malaysia harungi detik cemas ke lapangan terbang

Iklan
Pihak tentera dan polis Pakistan lengkap bersenjata telah menutup lebuh raya dan jalan raya biasa, untuk menghalang protes besar-besaran oleh penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan. Foto AFP

ISLAMABAD - Sekumpulan media dari Malaysia berhadapan detik mendebarkan selama tiga jam selepas terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad, semalam, bagi menaiki pesawat pulang ke ibu negara.

Petugas media dari Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro Awani yang membuat liputan lawatan Negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan pada 2 hingga 4 Oktober lepas, menempuh perjalanan berliku menggunakan laluan di ceruk kampung dan pekan kecil untuk sampai ke lapangan terbang.

Iklan
Iklan

Ini kerana pihak tentera dan polis Pakistan lengkap bersenjata telah menutup lebuh raya dan jalan raya biasa, untuk menghalang protes besar-besaran oleh penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.

"Kebiasaannya perjalanan dari hotel penginapan kami di tengah-tengah ibu kota Islamabad ke lapangan terbang antarabangsa negara itu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja.

Iklan

"Bagaimanapun disebabkan sekatan jalan raya menyeluruh oleh tentera dan polis Pakistan, kami terpaksa menggunakan laluan alternatif di ceruk-ceruk kampung dan pekan kecil Islamabad pada waktu malam yang mengambil masa lebih tiga jam untuk tiba di lapangan terbang,” kata jurugambar Bernama, Ahmad Iskandar Kamaruzaman hari ini.

Ahmad Iskandar berkata, petugas media Malaysia berterima kasih kepada pegawai dan pemandu warga tempatan kedutaan Malaysia ke Pakistan yang bekerja keras memastikan mereka dapat tiba di Lapangan Terbang Islamabad walaupun terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jauh dan berliku pada waktu malam.

"Tanpa bantuan daripada pegawai-pegawai kedutaan Encik Amri dan Encik Anwar serta pemandu kedutaan warga Pakistan yang cekap, tidak mungkin petugas media Malaysia dapat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad pada waktu sepatutnya untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia. Terima kasih,” katanya.

Iklan

Lebih mencemaskan apabila liputan telefon bimbit di seluruh Islamabad telah disekat oleh pihak berkuasa negara itu dipercayai sebagai satu daripada usaha untuk menyekat kehadiran ribuan penyokong Imran di beberapa lokasi protes di seluruh Islamabad.

Selain bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran juga adalah pengasas kepada parti politik Tehreek-e-Insaf.

Sementara itu, wartawan Bernama, Mohd Haikal Isa berkata, perjalanan kenderaan pacuan empat roda itu amat mencabar kerana mereka terpaksa menempuh laluan berbukit di kampung-kampung terpencil dalam keadaan gelap-gelita dan hujan lebat serta tiada jaringan telekomunikasi yang telah disekat oleh pihak tentera.

Beliau berkata, laluan alternatif ke Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad itu antaranya membawa mereka ke kawasan perkuburan, laluan kereta api di kawasan terpencil di Islamabad dalam keadaan jalan raya yang bukan sahaja amat gelap tetapi juga berlumpur akibat hujan lebat.

"Menurut pegawai kedutaan, walaupun Islamabad bukan asing untuk protes politik, tetapi apa yang dialami dalam satu dua hari ini adalah yang terburuk dalam waktu terdekat, dengan pihak berkuasa meletakkan puluhan kontena di tengah jalan raya untuk menghalang kemaraan penyokong Imran Khan,” kata Mohd Haikal yang juga Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama.

Penyokong bekas perdana menteri Pakistan yang kini berada dalam penjara dijangka meneruskan protes mereka pada hari ini dan pasukan keselamatan mengekalkan kawalan ketat di di keseluruhan kawasan ibu negara itu.

Kawalan ketat pihak berkuasa Pakistan di Islamabad dijangka berterusan hingga sidang kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) di negara itu yang akan diadakan pada 15 hingga 16 Oktober ini.

Sidang kemuncak SCO bakal dihadiri pemimpin-pemimpin dari Russia, China, India, Iran, Turkiye dan beberapa negara lain. - Bernama