SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sikap korup pemimpin terdahulu menjadi punca masalah kemiskinan terus membelenggu negara merupakan satu penegasan wajar dan tepat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia kerana pemimpin yang korup membawa risiko besar terhadap kestabilan ekonomi, sosial dan politik negara.
Menurutnya, golongan terbabit menggunakan kuasa untuk memperkaya diri sendiri dan kroni, malah mengalihkan dana yang sepatutnya disalurkan khusus buat pembangunan rakyat.
"Kajian menunjukkan bahawa setiap tahun Malaysia mungkin kehilangan berbilion ringgit akibat rasuah yang boleh mencapai empat hingga lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Kerugian ini mengakibatkan kekurangan dana untuk projek pembangunan dan kebajikan rakyat, mengekalkan ketidaksamaan sosioekonomi serta merencatkan pertumbuhan ekonomi.
"Banyak kemudahan boleh dibina untuk manfaat rakyat sekiranya dana digunakan dengan betul.
"Contohnya, jika negara kehilangan RM22 bilion setahun, dana ini boleh bina lebih 1,000 sekolah baharu atau akses pendidikan berkualiti di kawasan luar bandar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Anwar ketika majlis Syarahan Za'ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu mengingatkan masyarakat agar menyokong usaha kerajaan dalam memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, kerajaan akan mengambil sikap tegas terhadap individu yang mengaut kekayaan negara tanpa rasa tanggungjawab sama ada pada masa lalu mahupun sekarang.
Jais berkata, mengambil tindakan pendakwaan terhadap pemimpin korup adalah langkah penting untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi negara sebagai komitmen dalam menegakkan integriti serta akauntabiliti.
"Langkah ini dapat meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia kerana ini menunjukkan negara serius dalam menangani rasuah di peringkat tertinggi.
"Hal ini juga menarik pelaburan asing kerana pelabur lebih yakin untuk melabur dalam negara yang memerangi rasuah dan mempunyai sistem perundangan telus.
"MCW menyokong penuh usaha kerajaan menangani isu korupsi di semua peringkat, terutama sekali dalam kalangan pemimpin kerana kita boleh capai kemajuan sekiranya mempunyai kepimpinan bersih dan berintegriti," ujarnya.