KKM nafi lewat tubuh pasukan khas siasat kematian pakar patologi

Iklan
Dr Dzulkefly bersama kanak-kanak memegang pelekat kesihatan semasa melakukan tinjauan Premis Bersih, Bebas Asap Negeri Selangor di Grandeur Labs, Puncak Alam pada Ahad.

KUALA SELANGOR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung kelewatan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu berkait kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan Poay Tiong tersasar daripada fakta sebenar, sebaliknya pasukan khas itu ditubuhkan bagi menganalisis input daripada siasatan insiden kematian itu dengan lebih mendalam.

Iklan
Iklan

"Kenyataan (dibuat) beliau kami lewat (menjalankan siasatan) tidak tepat, sepatutnya beliau perlu mengetahui kita telah memulakan siasatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (Sabah) segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan Premis Bersih, Bebas Asap Negeri Selangor di Grandeur Labs, Puncak Alam di sini pada Ahad.

Iklan

"Setelah kita ada dapatan, kalau mendiang layak untuk diberikan pampasan, kita akan segera berikan mengikut SOP (prosedur operasi standard).

"Saya memberi jaminan, kita sebagai Kerajaan Madani akan kongsikan hasil dapatan panel itu kepada umum kerana kami telus dan tiada apa yang perlu disembunyikan," kata beliau.

Iklan

Poay Tiong dalam satu kenyataan pada Jumaat meluahkan rasa kecewanya terhadap pengumuman KKM pada 2 Oktober lalu bahawa pasukan petugas itu hanya akan ditubuhkan pada 10 Oktober, lebih sebulan selepas kematian Dr Tay Tien Yaa pada 29 Ogos lalu.

Terdahulu, media melaporkan seorang pakar di hospital Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya pada 29 Ogos lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

Awal bulan ini, KKM mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bebas berkuat kuasa 10 Oktober ini, bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah.

Penubuhan pasukan petugas khas bebas ini selari pendirian tegas KKM tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.

Pasukan itu turut dianggotai lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.