'Ayah tak sempat jemput tetamu majlis sambut menantu'

Iklan
Siti Dayang bersama ibunya, menunjukkan gambar arwah bapanya yang dirakam ketika majlis perlahwinan adiknya pada 7 September lalu.

HULU TERENGGANU -"Hajat ayah nak jemput tetamu datang majlis kenduri sambut menantu tak kesampaian," ujar Siti Dayang Suhana Musa, 31, anak kepada pekebun warga emas yang ditemukan maut akibat dipijak gajah liar pada Sabtu.

Menurut Siti Dayang, bapanya, Musa Ahmad, 65, sempat berbual bersama ibunya, Fatimah Ibrahim, 55, sehari sebelum diserang gajah liar berdekatan kebun di Kampung Basung dekat Kuala Berang di sini.

Iklan
Iklan

"Saya dengar ayah bersungguh-sungguh beritahu emak supaya biar dia sahaja yang pergi agihkan kad jemputan untuk panggil orang ramai datang kenduri.

"Ayah baru sempat agihkan dua kad jemputan kepada jiran terdekat.

Iklan

"Selebihnya akan diberikan pada hari Jumaat iaitu hari yang sama dia disedari hilang," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Ahad.

Tinggal kenangan. Allahyarham Musa (kiri) merakam gambar pada majlis perkahwinan anak kelimanya, Hussin pada 7 September lalu di Marang.

Siti Dayang memberitahu, kenduri sambut menantu sempena perkahwinan adiknya, Hussin, 29, akan diadakan 19 Oktober depan selepas selamat melangsungkan perkahwinan pada 7 September lalu di Marang.

Iklan

Anak keempat daripada 10 beradik itu berkata, mereka sekeluarga tetap meneruskan majlis seperti dirancang kerana persiapan telah dilakukan.

Katanya, mereka juga akan turut mengadakan majlis tahlil untuk arwah bapanya itu.

"Kami sekeluarga masih terkejut dan bersedih dengan kejadian ini. Apapun, kami reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi.

"Mungkin kerinduan kami kepada arwah ayah sedikit terubat kerana ayah mempunyai kembar seiras iaitu bapa saudara kami, Isa Ahmad, 65. Dia juga tinggal di kampung ini," katanya.

Bercerita lanjut, Siti Dayang berkata, sebelum ditimpa kejadian itu, bapanya menunjukkan kelakuan luar daripada kebiasaan.

"Ayah sebelum ini tidak pernah ketinggalan untuk jamah nasi goreng yang dihidangkan emak kerana sudah menjadi kelaziman dia bersarapan dulu sebelum keluar ke kebun.

"Pagi tu, dia bukan sahaja tidak sarapan tetapi juga tidak memberitahu sesiapa dia nak ke mana.

"Hari Jumaat biasanya ayah akan beritahu kepada emak untuk ke mana-mana dan akan pulang waktu tengah hari untuk solat Jumaat.

"Tidak sangka pula ia petanda ayah akan pergi buat selamanya. Betul ayah tak sempat jemput orang datang kenduri kahwin di rumah tapi ayah masih jemput orang ke rumah ziarah jenazah ayah selepas pemergiannya," katanya.

Siti Dayang berkata, mereka sekeluarga berharap agar kejadian meragut nyawa bapanya itu dapat dijadikan iktibar.

"Kita harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Jenazah Musa selamat dikebumikan kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Basung.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya pada Jumaat ditemukan maut pada pagi Sabtu akibat diserang gajah liar.