Harimau Malaya tak tempang tanpa Cools - Pau Marti

Iklan
Ketua Jurulatih Kebangsaan. Pau Marti Vicente. Foto Bernama

KETIADAAN kapten pasukan Dion Cools tidak akan menjadi suatu kelemahan buat Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan bertemu New Zealand, 14 Oktober ini, kata ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente.

Walaupun tanpa Cools, Vicente berkata, beberapa pemain lain mampu menggalas tanggungjawab sebagai kapten antaranya Matthew Davies dan Mohammad Syamer Kutty Abba, pada perlawanan di North Harbour Stadium di Auckland itu.

Iklan
Iklan

"Tentunya semua pemain sangat penting, tetapi kita perlu percaya kita ialah pasukan yang kuat. Jadi (kalau) mana-mana pemain tiada, kami ada banyak pemain yang bagus yang boleh mengambil alih peranannya. Jadi saya sangat yakin dengan semua pemain yang boleh hadir dan bermain.

"Ia lebih kepada kerja berkumpulan dan semua orang mesti berasa mereka penting. Sudah tentu, ini perlawanan penting. Kami berdepan pasukan dengan ranking lebih tinggi,” katanya kepada pemberita sebelum pasukan itu berlepas ke New Zealand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan Cools tidak akan menyertai Harimau Malaya dalam perlawanan persahabat itu kerana urusan keluarga.

Vicente berkata, aksi melawan New Zealand yang turut dikenali dengan julukan ‘All Whites’ menawarkan peluang terbaik kepada barisan kejurulatihan untuk menilai keserasian antara para pemain, terutamanya dengan kemasukan muka baharu.

Beliau berkata, perlawanan itu akan turut membantu pemain menambah minit di padang dan meningkatkan permainan mereka menjelang Kejohanan ASEAN 2024, yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), bermula Disember ini.

Iklan

"Pada saya, sangat penting untuk cuba dapatkan perlawanan persahabatan berkualiti bagi mempersiapkan pasukan, lebih handal lawan yang kita jumpa, lebih bagus bagi kita untuk dapatkan persiapan terbaik.

"Saya percaya sudah hampir 20 tahun sejak kali terakhir Malaysia bermain menentang New Zealand, Negara yang sukar, pasukan yang sukar untuk ditentang. Jadi saya rasa kita perlu biasakan berdepan lawan seperti ini, raih keyakinan dan cuba dapatkan keputusan terbaik,” katanya.

Kali terakhir Harimau Malaya berdepan New Zealand ialah pada 2006 di bawah ketua jurulatih Norizan Bakar.

New Zealand menewaskan Malaysia 1-0 di Christchurch pada 19 Feb dan 2-1 di Auckland empat hari kemudian. - Bernama