LIGA Malaysia (Liga-M) boleh diibaratkan dalam situasi tenat susulan pelbagai masalah terutama isu kewangan serius beberapa pasukan serta saingan liga yang tidak kompetitif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beberapa pasukan yang sebelum ini dianggap gergasi dalam saingan Liga Super dan tidak berdepan masalah kewangan serius kini terpaksa mengorek tabung untuk membayar tunggakan gaji pemain yang dilaporkan tidak dibayar selama beberapa bulan.
Pasukan seperti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur (KL) City dan beberapa pasukan yang dahulunya watak penting dalam saingan Liga Super berdepan kemungkinan terpaksa ‘tutup kedai’ dan menarik diri sekiranya terus berdepan masalah kewangan.
Hanya ada beberapa pasukan yang dilihat stabil dalam mendepani cabaran antaranya gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Kuching City FC.
Selebihnya, banyak kedengaran banyak kisah tidak enak mengenai masalah tunggakan gaji dalam kalangan pasukan yang berdepan situasi kewangan yang tenat.
Sebelum ini, Liga Super pada tahun 2023 menyaksikan dua pasukan iaitu Sarawak United dan Melaka United terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan liga tertinggi negara selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan kerana berdepan tunggakan gaji pemain.
Setahun selepas itu, pasukan yang dahulunya digeruni dengan pelbagai pencapaian serta sejarah gah iaitu Kelantan FC pula ditendang selepas berdepan masalah sama dan tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Tahun depan, skripnya dijangka sama dengan beberapa pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji serius bakal terima nasib serupa dan ramai boleh meramalkan bahawa saingan liga akan terus merosot dan hilang serinya.
Ia sekali gus menyaksikan penyokong yang menjadi nadi utama dalam survival pasukan semakin patah hati dan kurang berminat untuk mengikuti perlawanan yang dianggap sebagai sukan nombor satu negara.
Kesan berantai daripada situasi ini juga sudah tentu akan memberikan kesan kepada pasukan kebangsaan yang sedang berada dalam momentum terbaik di pentas antarabangsa.
Persoalan utama di manakah silapnya? Ramai yang menuding jari kepada pasukan yang boros berbelanja ketika merekrut pemain pada awal musim selain sikap peminat yang tidak bersungguh-sungguh menyokong pasukan kelab.
Ada juga yang turut menyalahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tidak berjaya memastikan saingan Liga Super benar-benar kukuh dan stabil terutama selepas proses penswastaan berlaku selain perancangan saingan liga yang dilihat cacamarba.
Malah, pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) seperti yang diumumkan oleh MFL musim ini untuk mengelakkan pasukan berbelanja lebih daripada kemampuan juga belum menampakkan hasilnya.
Apabila isu melibatkan saingan liga, tumpuan sudah tentu terarah kepada MFL yang merupakan badan pengelola yang menguruskan pentas liga tertinggi negara.
Setiap langkah dan tindakan mereka cukup penting dalam usaha mengembalikan keyakinan dalam industri bola sepak di negara ini yang berdepan cabaran besar untuk dipulihkan.
Soal penswastaan juga tampak sukar untuk direalisasikan apabila pasukan masih terpaksa bergantung kepada sumber kewangan daripada kerajaan negeri untuk memastikan mereka dapat terus kekal dalam saingan liga.
Penaja juga agak takut untuk menaja pasukan melihatkan kepada kesuraman saingan liga yang tidak akan dapat memberikan pulangan sewajarnya kepada pelaburan yang telah mereka dilakukan.
Dalam ketidaktentuan ekonomi ketika ini, kelab mahupun MFL tidak boleh menuding jari kepada penyokong kerana tidak pergi kes stadium atau menyokong membeli barangan keluaran kelab.
Justeru, pendekatan berkesan perlu difikirkan terutama MFL atau kelab bagi memastikan bukan hanya penaja yang mahu datang menaja industri bola sepak negara tetapi juga penyokong kembali bertaut hati menyokong liga kita.
Ada pandangan yang menyarankan agar perancangan Liga-M kembali dirombak kerana sistem sedia ada tidak berfungsi dengan baik.
Ia seharusnya didengari oleh MFL untuk penambahbaikan dan jika tidak sesuai mereka perlu mencari satu bentuk penyelesaian segera agar Liga-M tidak terus karam.
* Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan sukan Sinar Harian