AUKU akan diganti dengan undang-undang lebih baik

Iklan
Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan amanat dan aspirasi kepada warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan sedang giat melaksanakan usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan undang-undang lebih baik dan komprehensif, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, usaha itu selaras dengan Janji 50 Kerajaan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pendidikan tinggi.

Iklan
Iklan

"Saya berharap agar akta baharu yang menggantikan AUKU kelak akan menjurus kepada kualiti dan kecemerlangan universiti bagi mewujudkan institut pengajian tinggi yang peka dan berupaya untuk bertindak balas dengan keperluan perubahan persekitaran," katanya.

Pada majlis amanat dan aspirasi beliau bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Dr Mahathir juga melahirkan harapan agar Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) dapat diaktifkan semula untuk memantapkan sistem tadbir urus dan pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi baharu yang sedang digubal.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, sinergi ekosistem penyelidikan dan inovasi akan ditambah baik pada tahun ini selaras dengan peruntukan RM400 juta yang disediakan untuk penyelidikan bagi membolehkan universiti menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

Beliau berkata, tumpuan seharusnya diberikan terhadap pengukuhan kolaborasi dengan institusi yang disenaraikan sebagai Top 100 di dunia oleh QS World University Rankings.

Iklan

Dalam menggalakkan penyelidikan yang dipacu permintaan atau ‘demand driven’, katanya, pelaksanaan Public Private Research Network 2.0 (PPRN 2.0) dan Prototype Research Grant Scheme (PRGS 2.0) pada tahun ini akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi industri kecil sederhana (SME) melalui bidang berasaskan teknologi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kementerian telah membangunkan dokumen 'Way Forward for Private Higher Education Institutions (PHEIs): Education as An Industry (2020-2025)' yang akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi menjadi sumber rujukan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dalam menentukan hala tuju menjelang tahun 2025. - Bernama