ISU jalan rosak dan berlubang di beberapa laluan utama menghala ke Pelabuhan Klang perlu penyelesaian lebih baik.
Banyak luahan kekecewaan di media sosial terhadap pihak berkuasa, jabatan dan agensi berkaitan mengenai jalan raya di lokasi berkenaan.
Malah, pada awal tahun ini, media ada melaporkan Lebuhraya Pulau Indah merupakan salah satu laluan yang mengalami kerosakan teruk di negara ini.
Ini disebabkan kawasan terbabit menjadi laluan utama kenderaan berat lebih muatan berulang alik ke Pelabuhan Klang.
Sikap tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan berat membawa muatan berlebihan didakwa menjadi punca permukaan jalan kerap mengalami kerosakan.
Sekiranya benar seperti didakwa, kerajaan perlu menggunakan bahan turapan lebih berdaya tahan supaya permukaan jalan menjadi lebih kukuh dan tahan lama.
Dalam masa sama, pihak berkuasa berkaitan perlu memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat bagi mengatasi kerosakan jalan.
Ini kerana jalan raya bukan hanya untuk digunakan kenderaan perdagangan tetapi semua jenis kenderaan awam termasuk motosikal.
Jika dilihat kepada soalan Yang Berhormat di Dewan Rakyat seperti berlaku di Pelabuhan Klang ini umpamanya, isu kenderaan berat sering menjadi perdebatan.
Pada setiap tahun juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri 'mengamuk' mengenai kerosakan jalan di kawasannya.
Baru-baru ini, Azmizam menerusi akaun TikTok meminta Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Datuk Roslan Ismail dan semua pegawai JKR bertanggungjawab untuk menyelesaikan segera isu kerosakan jalan raya menghubungkan Jambatan Kurau dengan Bandar Sultan Suleiman di Pelabuhan Klang.
Berikutan itu, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Azman Ibrahim turun padang melihat sendiri lokasi jalan rosak yang tular di media sosial.
JKR dalam satu kenyataan memaklumkan, kontraktor akan melaksanakan kerja pembaikan sementara di kawasan terjejas.
Sinar Harian sebelum ini juga melaporkan Azmizam memberi tempoh seminggu kepada JKR membaik pulih jalan raya yang pecah dan berlubang dari arah Jambatan Selat menghala Bandar Sultan Sulaiman atau berdepan mogok oleh pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, Azmizam memberitahu, beliau berharap lawatan KSU KKR akan menyelesaikan masalah tersebut dengan segera selain mengatasi kesesakan akibat kerosakan jalan.
Walaupun ada yang menganggap saranan Azmizam itu sebagai keterlaluan, namun dakwaannya pasti ada asas berikutan beliau juga adalah wakil rakyat kepada penduduk di situ.
Bukan sahaja Azmizam, bahkan ramai pengguna jalan raya ada pengalaman berdepan dengan keadaan jalan raya yang rosak teruk.
Bayangkan kalau seorang wakil rakyat yang ada akses terus bertemu menteri dan boleh menyuarakan masalah itu di Parlimen juga tidak selesai masalahnya, janganlah kita sebagai rakyat biasa mengharapkan aduan dapat didengari dan diatasi segera.
Sabar adalah kata kuncinya selepas membuat aduan, namun ramai juga percaya tahap kesabaran ada batasnya, tambahan pula isu kerosakan jalan ini kerap menyumbang kepada berlakunya kemalangan maut.
*Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Selangor