Ustaz Amin jejak lokasi Yakjuj, Makjuj di Darial Gorge

Iklan
Ustaz Amin menjejaki lokasi terkurungnya Yakjuj dan Makjuj di Darial Gorge.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pendakwah terkenal, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin atau mesra dipanggil Ustaz Amin menjejaki lokasi yang dikatakan terkurungnya Yakjuj dan Makjuj di sebalik Tembok Zulkarnain atau Darial Gorge di sempadan Georgia-Rusia.

Ustaz Amin berkata, beliau konsisten menjalankan kajian mengenai kedudukan makhluk tersebut dan beberapa kali menjejakkan kaki ke sana meskipun lokasi sebenar tidak pernah dinyatakan secara jelas dalam al-Quran.

Iklan
Iklan

Menurut penceramah agama bertauliah itu, beliau juga sudah melintasi tembok di sempadan Rusia dan membawa pulang sampel batu-batuan, namun kawasan yang mengandungi komposisi besi hanya di bahagian Georgia.

Berdasarkan perkongsiannya di TikTok, sebahagian ulama mengatakan Darial Gorge adalah tembok ghaib terkurungnya Yakjuj dan Makjuj, malah melihat kepada sekitar pergunungan Kaukasus, terlalu banyak kisah legenda melibatkan orang gasar atau Barbarian yang melalui kawasan berkenaan.

Iklan

"Kalau dilihat di sini (Darial Gorge) memang banyak legenda bahawa tempat ini menjadi laluan orang buas satu ketika dahulu yang melintasi dataran luas ke pergunungan Kaukasus, kemudian pergi ke arah Asia.

"Di sebelah kanan adalah kawasan Georgia-Armenia manakala kiri saya bahagian Eropah dan Rusia.

Iklan

"Sejak dahulu lagi, ada satu sejarah bagaimana laluan ini digunakan oleh golongan Barbarian untuk menyerang atau melintasi kawasan ke arah Asia sebab ia pintu masuk antara Asia dan Eropah (berdasarkan peta al-Idrisi kurun ke-11)," katanya.

Hantaran video berdurasi tiga minit 52 saat yang dimuatnaik Ustaz Amin pada Ahad mendapat perhatian ramai apabila menerima lebih 246,000 tanda suka, 2,500 komen dan 22,700 perkongsian.

Sementara itu, Ustaz Amin memaklumkan, bahasa Georgia juga sukar difahami sejak zaman Zulkarnain datang ke kawasan berkenaan sehingga sekarang, bahkan hanya penduduk tempatan boleh berkomunikasi sesama sendiri.

Tambah beliau, pakar linguistik membuat kajian dan mengakui ia tidak sama dengan mana-mana kumpulan bahasa yang wujud dalam dunia.

"Hampir semua perkataan atau bahasa mereka tak dapat difahami, memang bahasa Georgia ini apabila ahli linguistik kaji, ia bukan datang daripada kumpulan keluarga Slavik, Indo-Eropah, Semitik Yahudi, Arab dan sebagainya.

"Tetapi, ia bahasa atau tulisan terpencil dan tersendiri seperti dinyatakan dalam surah al-Kahfi ayat 93.

"Kemudian, batu-batuan di sekitar Darial Gorge mempunyai besi dan sama sewaktu Zulkarnain meminta kepingan besi untuk dijadikan tembok. Apa pun, ia sekadar kajian," ujarnya lagi.