PEGUAM syarie yang mewakili Fattah Amin, Zulkifli Che Yong berharap kes membabitkan anak guamnya dan isteri, Nur Fazura Sharifuddin dapat diselesaikan secara baik.
Ujarnya, menerusi prosiding terdahulu, Fattah selaku defendan belum bersedia untuk menceraikan Fazura secara baik.
"Perbincangan selepas prosiding baru-baru ini sangat baik di antara peguam-peguam dan tentu sekali ia atas arahan anak guam.
"Saya sangat berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada pagi Isnin.
Ditanya antara terma-terma perjanjian yang ditetapkan, Zulfikfli enggan mendedahkannya, namun berharap perkara itu akan dipersetujui.
"Perbicaraan masih belum dijalankan, jadi tidak boleh saya kongsikan lagi,” katanya.
Debaran terhadap konflik rumah tangga membabitkan pasangan selebriti, Fattah dan Fazura dijangka menemui noktahnya pada Isnin.
Prosiding kedua tuntutan perceraian pasangan itu dijangka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada jam 9 pagi.
Keputusan itu dijangka memberi jawapan kepada persoalan sama ada pasangan tersebut akan terus mempertahankan bahtera perkahwinan yang terjalin sejak tujuh tahun lalu atau ia akan berakhir dengan kisah duka.
Pada 25 September lalu, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 33, menyatakan belum bersedia menceraikan isterinya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, ketika prosiding pertama di mahkamah yang sama.
Bagaimanapun, Fazura nekad untuk meneruskan penceraian meskipun keputusan itu bukan mudah untuk dilakukan.
Isu keretakan rumah tangga pasangan itu menjadi topik hangat dalam media sosial sejak beberapa bulan yang lalu apabila dikatakan tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.
Teka-teki hubungan mereka kemudiannya terlerai apabila Fazura memfailkan permohonan cerai pada 13 September lalu.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4