Hashem Safieddine, senasib Nasrallah?

Iklan
Hashem Safieddine

BEIRUT - Tokoh disegani gerakan Hizbullah ini pernah disebut sebagai pengganti berpotensi kepada Sayyed Hassan Nasrallah yang gugur syahid dalam serangan udara Israel pada 27 September lalu.

Tetapi, keberadaan Hashem Safieddine mencetuskan tanda tanya sejak Jumaat lalu setelah kempen pengeboman rejim Zionis di pinggir selatan Beirut didakwa menyasarkan beliau.

Iklan
Iklan

Beberapa laporan media menyebut Ketua Majlis Eksekutif Hizbullah itu bersama beberapa pemimpin kanan lain sedang bermesyuarat di bunker bawah tanah ketika musuh melancarkan bedilan di Dahiyeh iaitu kubu kuat gerakan itu.

Rangkaian portal Israel mendakwa Safieddine cedera dalam serangan itu, namun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Iklan

Laporan 'kehilangan' beliau tanpa khabar berita sama seperti ketika Nasrallah tidak dapat dihubungi setelah terkorban dalam serangan di kompleks bawah tanah di pinggir selatan Lubnan.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan membuat rancangan jahat untuk menghapuskan beliau ketika serangan diperhebatkan ke atas kedudukan Hizbullah sejak lebih seminggu lalu.

Rejim Zionis masih meneruskan kempen serangan di pinggir selatan Beirut pada Sabtu ketika dunia memberi tumpuan kepada konflik Iran-Israel.

Iklan

Zionis melihat Safieddine sebagai antara ancaman utama memandangkan beliau bertanggungjawab dalam hal ehwal politik gerakan itu selain menganggotai Majlis Jihad yang menguruskan operasi ketenteraan.

Namanya jarang diuar-uarkan di media antarabangsa dan mencetuskan tanda siapakah pemimpin terbaharu di bawah Paksi Penentang anti-Israel yang berada dalam senarai sasaran IDF ini.

Safieddine yang pernah diisytiharkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sebagai 'pengganas asing' pada 2017 merupakan sepupu kepada Nasrallah dan membawa imej memakai serban hitam sama seperti pemimpin Hizbullah tersebut.

BERSUARA LANTANG

Pejuang Huthi mengibarkan bendera Hizbullah ketika berhimpun di Sanaa bagi membantah operasi ketenteraan ganas Israel ke atas Lubnan.

Beliau pernah menghebahkan kepada dunia tentang 'hubungan erat' antara Hizbullah dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terutamanya bersama Mejar Jeneral, Qassem Soleimani yang terkorban dalam serangan udara AS di lapangan terbang Baghdad pada 2020.

Ulama syiah itu dilahirkan pada 1964 di perkampungan Deir Qanoun En Nahr di selatan Beirut.

Safieddine adalah antara anggota terawal menyertai Hizbullah setelah gerakan itu ditubuhkan pada 1980-an ketika perang saudara berlarutan di Lubnan.

Beliau bersama Nasrallah banyak memainkan peranan utama sebagai pemimpin politik dan tokoh keagamaan.

Pada 1995, Safieddine dilantik mengetuai Majlis Tertinggi Hizbullah dan dinamakan sebagai pemimpin Majlis Eksekutif, kira-kira tiga tahun kemudian, iaitu jawatan yang pernah dipegang Nasrallah sebanyak dua kali sebelum dipilih sebagai Setiausaha Agung gerakan itu pada 1992.

Beliau semakin kerap tampil membuat kenyataan mengutuk kekejaman Zionis dan di sempadan Lubnan sejak perang genosid ke atas Gaza tercetus.

Menurut Philip Smyth yang merupakan pakar mengkaji operasi gerakan disokong Teheran, Safieddine mengambil peluang itu untuk bersuara lebih lantang mewakili Hizbullah.

Ketika menghadiri pengebumian salah seorang anggota pejuang mereka pada Mei lalu, beliau menegaskan gerakan itu tetap utuh bersama sekutu Iran lain dan sentiasa menyokong tuntutan hak penduduk Palestin.

"Kami tidak akan berundur hingga ke titik akhir,” tegasnya ketika memberi respons terhadap siri serangan siber ganas yang menyasarkan alat kelui dan walkie-talkie milik pejuang mereka di seluruh negara.

Safieddine juga adalah pengkritik utama dasar AS kerana bersekongkol dengan jenayah kejam sekutunya, Israel di Gaza dan selatan Beirut.

Pada 2021, beliau mendakwa Washington cuba campur tangan dalam politik dalaman Lubnan malah AS bertindak mensabotaj negara lain di rantau itu, Iraq serta Afghanistan disebut sebagai contoh paling jelas. - Agensi