Terengganu lulus dua syarikat laksana kajian awal REE

Iklan
Kerajaan Terengganu telah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan REE di negeri ini.

KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu telah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang terdapat di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyatakan kajian awal untuk meneroka REE itu sudah mula dilaksanakan sejak Ogos lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, fasa pertama yang dilakukan dua syarikat tersebut bertujuan menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan REE mula dilaksanakan.

"Namun, buat masa ini, dua syarikat sahaja yang diluluskan kerana mereka telah memohon dalam tempoh yang begitu lama.

Iklan

"Oleh itu, dua syarikat ini dahulu akan melakukan kajian tahap kedalaman melombong termasuk perincian proses menggerudi kawasan perlombongan di lokasi yang telah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan penonton yang hadir pada Program Dialog Exco di Bandar Al Wathiqu Billah Shah Kuala Nerus, di sini baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan selepas kerja-kerja kajian tahap kedalaman lombong dilakukan, proses mengeluarkan bahan mineral tersebut akan mula dilaksanakan.

Menurutnya, lesen perlombongan itu dijangka diluluskan pada bulan Jun 2024 untuk mula mengeluarkan hasil tersebut.

"Kita memang berhasrat mahu beri kelulusan kepada lapan-lapan syarikat yang telah memohon ini... kita akan berikan selepas proses kajian tahap kedalaman dilakukan.

"Pada masa sama kita sedang jalinkan hubungan dengan penggiat industri untuk mengeluarkan karbonat dahulu yang akan diproses untuk dibuat magnet yang menghasilkan kuasa lebih 70 kali ganda.

"Bahan ini mendapat permintaan tinggi kerana digunakan dalam menghasilkan kereta elektrik," jelas beliau.