Guna tayar botak, bawa muatan lebih had

Iklan
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan terhadap lori yang ditahan menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan pada Jumaat. (Kanan: Penggunaan tayar botak antara kesalahan ketara dikesan.)

SHAH ALAM - Membawa muatan melebihi had ditetapkan selain penggunaan tayar botak antara kesalahan ketara dikesan melibatkan lori menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan pada Jumaat.

Rata-rata pemandu lori yang ditahan memberikan alasan terpaksa berbuat demikian semata-mata untuk mengejar trip perjalanan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan memfokuskan pemeriksaan menyeluruh kenderaan perkhidmatan barangan terutama lori membawa muatan pembinaan.

"Operasi melibatkan pemeriksaan sebanyak 774 lori yang membawa muatan,1,665 notis saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

Iklan

"Kesalahan teknikal terutama melibatkan penggunaan tayar botak, pemasangan cermin gelap selain membawa lebih muatan antara yang ketara dikesan dalam operasi dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Katanya, operasi melibatkan beberapa lokasi antaranya Jalan Salak Tinggi, Jalan Bangi Lama, Jalan Matang Pagar, berdekatan Plaza Tol Rawang Selatan dan Jalan Klang-Teluk Intan.

Iklan

"Kesalahan teknikal ini seharusnya dipandang serius oleh pengguna kerana ia bukan sahaja melibatkan keselamatan pemilik kenderaan itu sendiri malahan pengguna jalan raya yang lain.

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan terhadap lori yang ditahan menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan pada Jumaat.

"Jangan sewenangnya memberikan alasan tidak sempat atau terlupa kerana kesalahan seperti penggunaan tayar botak ini jelas merupakan satu tindakan yang berbahaya," katanya.

Menurutnya, pihak syarikat serta pemandu kenderaan itu sendiri diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

"Sentiasa pastikan kenderaan yang dibawa dalam keadaan selamat selain melakukan pemeriksaan menyeluruh kenderaan yang dipandu sebelum memulakan perjalanan.

"JPJ Selangor sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dikesan dan kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan akan diambil tindakan termasuk penyitaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya.