85 peratus penduduk SPT, SPS terima bekalan air pagi ini

Iklan
Penyambungan bahagian saluran paip baharu di Permatang Pauh. Foto FB PBAPP

GEORGE TOWN - Seramai 100,300 daripada 118,000 pengguna di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang mengalami gangguan bekalan air telah menerima air semula sejak pagi Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, sehingga jam 10 pagi Isnin, 85 peratus pengguna yang terjejas sejak Jumaat lalu telah mula menerima bekalan semula.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bekalan air itu pulih selepas dua bahagian yang dibaiki bagi saluran paip air terawat utama 1.2 meter di Jalan Pengkalan Tambang dan Politeknik Permatang Pauh telah berfungsi sepenuhnya.

"PBAPP telah memulakan semula pengeluaran air terawat yang optimum dan kerja-kerja pengepaman air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua.

Iklan

"Bagaimanapun, pengguna di beberapa kawasan kejiranan telah mengadu mereka belum menerima bekalan air. Kawasan-kawasan itu ialah Perkampungan Juru, Taman Seruling Emas, Sungai Duri Indah, Taman Widuri, Taman Kesumba, Jalan Sungai Duri, Persiaran Jawi Golf Resort dan Tasek Junjong," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, susulan daripada itu, kakitangan PBAPP telah ditugaskan untuk menangani isu-isu tertentu di setiap kawasan kejiranan tersebut.

Iklan

"Pasukan kerja kami juga sedang mempercepatkan kerja-kerja ‘de-airing’ saluran paip di pelbagai lokasi di SPT dan SPS untuk memulihkan bekalan air sepenuhnya secepat mungkin.

"Kami memohon kesabaran dan pemahaman yang baik daripada semua pengguna yang terjejas. PBAPP akan terus menyiarkan kemas kini status pemulihan di Facebook kami," katanya.

Sebelum ini, PBAPP memohon 118,093 pengguna air di 41 kawasan di SPT dan SPS supaya menyimpan air berikutan kedua-dua daerah itu akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula Jumaat lalu.

SWSI tersebut diperlukan untuk membolehkan PBAPP membaiki kebocoran paip yang telah menjejaskan perkhidmatan bekalan air di SPT dan SPS.

Bahagian saluran paip baharu sepanjang 180 meter akan disambung berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh.