SYARIKAT yang berada di pasaran utama Bursa Malaysia, Theta Edge Berhad dan Nylex Consortium bekerjasama dalam membina pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) dan Autonomous Rail Rapid Transit (ART) di Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, pengangkutan awam hibrid berkenaan direka untuk menawarkan mobiliti cekap dan sesuai untuk populasi yang semakin berkembang di negeri itu.
"Kerjasama ini menawarkan penyelesaian perkhidmatan (MaaS) yang inovatif dan mampu mengubah mobiliti bandar dengan positif. Projek tersebut juga adalah sebahagian penting dari visi untuk mencipta masa depan maju serta teknologi yang saling terhubung,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Nuraslina, selaras dengan objektif syarikat untuk meningkatkan nilai pemegang saham, syarikatnya memanfaatkan kepakaran dalam kejuruteraan mekanikal awam, telekomunikasi dan teknologi untuk memperkenalkan MaaS.
Beliau berkata, rakan strategiknya itu mempunyai pengalaman yang luas dan kepakaran mereka terbukti dalam melaksanakan projek rel berskala besar sama ada tempatan atau peringkat antarabangsa.
"Ini termasuklah, China Harbour Engineering Company Limited, China Energy Engineering Corporation Limited dan BTS Group Holdings PCL.
"Penggabungan sistem LRT-ART akan melengkapkan Rapid Transit System Link (RTS) akan datang, yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2027,” tambahnya.
Ujar Nuraslina, pengangkutan hibrid dijangka memenuhi permintaan penumpang tempatan dan Singapura sambil menangani permintaan masa hadapan serta meningkatkan pengalaman penumpang secara keseluruhan.
Jelas beliau, penglibatan projek tersebut juga menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam komitmennya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Dengan memanfaatkan kepakaran kolektif kedua syarikat, kerjasama ini dijangka dapat memberikan sistem pengangkutan yang canggih, meningkatkan mobiliti bandar, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Johor Bahru,” katanya.