Belanjawan 2025: Beri perhatian isu perumahan, ekonomi, pemodenan Felda

Iklan
Amizar (gambar kecil) berharap tiga aspek utama dapat diberikan perhatian khusus oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan peneroka Felda serta generasi baharunya.

KUANTAN - Pahang meletakkan harapan tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan peruntukan lebih besar dalam pembangunan wilayah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam Belanjawan 2025.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, tiga aspek utama diharap dapat diberikan perhatian khusus oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan peneroka Felda serta generasi baharunya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pertama, isu perumahan generasi baharu Felda perlu dijadikan fokus utama bagi memastikan generasi kedua dan seterusnya mempunyai akses kepada tempat tinggal yang selesa dan stabil di kawasan tanah rancangan.

"Kita mahu supaya adanya perhatian luar biasa dalam bajet kali ini bagi menyelesaikan isu perumahan generasi Felda.

Iklan

"Jadi, kerajaan perlu (membantu dengan) memberikan mandat kepada mana-mana (pihak) untuk melaksanakan projek perumahan untuk anak-anak peneroka," katanya pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu memberitahu, pembangunan ekonomi perlu menjadi perhatian oleh kerajaan dalam meningkatkan pendapatan para peneroka termasuk generasi baharu.

Iklan

Jelasnya, inisiatif ekonomi diharapkan mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan di kawasan Felda dengan membuka peluang pekerjaan dan menjamin kesejahteraan penduduk.

"Pembangunan ekonomi untuk peneroka dan anak-anak peneroka amat penting dalam memastikan kelangsungan ekonomi Felda agar lebih kukuh," katanya.

Amizar berkata, elemen ketiga yang menjadi harapan adalah pemodenan kawasan Felda atau ‘membandarkan’ Felda, dengan langkah-langkah termasuk penambahbaikan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan Felda serta meningkatkan daya tarikan kawasan itu.

"Kita tidak mahu Felda dilihat kolot, tetapi sebaliknya sebagai bandar moden yang berkembang.

"Di samping itu, kita melihat bank-bank telah hadir untuk menyokong usaha ini, yang menunjukkan potensi Felda sebagai pusat ekonomi baharu,” tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, Amizar berharap perkara tersebut mendapat perhatian serius dalam bajet yang akan datang dan ia sebagai langkah penting bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti Felda.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.