KEKELIRUAN dalam solat jamak dan qasar sering berlaku dalam umat Islam, apatah lagi bagi mereka yang jarang melakukan musafir lebih dua marhalah atau lebih 81 kilometer.
Keadaan yang sering menjadi salah faham ialah berapakah hari dibenarkan untuk menjamakkan (mengumpul) dan mengqasarkan (memendekkan) solat?
Pendakwah Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi mengakui salah faham dan kekeliruan tersebut sering terjadi dalam masyarakat Islam.
Dalam rakaman video yang disiarkan melalui platform TikToknya, beliau menjelaskan, apa yang difahami segelintir umat Islam ialah dibolehkan jamak dan qasar dalam tempoh tiga hari dan hari keempat serta seterusnya perlu dilaksanakan solat secara tamam atau sempurna seperti kebiasaannya.
Menjawab salah faham tersebut, beliau memberikan contoh yang mudah difahami.
"Sebenarnya begini, kita bermusafir selama lima hari termasuk dua hari perjalanan iaitu perjalanan pergi dan pulang.
"Hari pertama dikira sebagai hari perjalanan. Hari kedua dikira sebagai hari pertama, hari ketiga pula ialah hari kedua dan hari keempat ialah hari ketiga. Hari kelima pula dikira sebagai hari perjalanan pulang.
Adapun kalau bermusafir selama tujuh hari termasuk hari perjalanan pergi dan pulang katanya, selepas ditolak dua hari perjalanan, masih berbaki lima hari menetap di tempat tersebut.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Al-Kafi #926: Perkiraan hari masuk dan hari keluar dalam hukum solat musafir (jamak dan qasar) menjelaskan, syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir seperti direkod dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji ialah:
"Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”
Ia berdasarkan hadis Al-`Ala’ bin al-Hadhrami, Rasulullah SAW bersabda: "Orang Muhajirin bermukim di Mekkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
"Seseorang yang musafir hendaklah berniat menetap tiga hari (atau kurang) di destinasi musafirnya untuk membolehkannya mengambil rukhsah solat jamak dan qasar.
"Ini tidak termasuk siang hari sampai dan siang hari pulang, atau malam hari sampai dan malam hari pulang. Jika dihimpunkan keseluruhan hari tersebut, ia boleh mencecah lima hari,” jelasnya.