Pelarasan cuti Sabtu, Ahad babit keseluruhan Bangsa Johor - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz (tengah).

JOHOR BAHRU - Penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula awal tahun hadapan akan melibatkan keseluruhan Bangsa Johor terdiri daripada 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan dan restu penukaran cuti hujung minggu di negeri Johor kepada hari Sabtu dan Ahad.

Iklan
Iklan

"Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu dan menitahkan agar patik dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti penyelarasan semula cuti hujung minggu ini dari setiap sudut dan aspek.

"Titah perbincangan penyelarasan perubahan cuti hujung minggu ini akan menitikberatkan dan meliputi seluruh aspek termasuklah agama Islam tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri bersama Mufti Negeri Johor dan agensi yang terlibat akan memperincikan waktu kerja yang sesuai terutama pada hari Jumaat bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.

"Insya-ALLAH, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta, memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan," ujarnya.

Iklan