DALAM usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai program bantuan bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah termasuk yang mempunyai bilangan anak ramai.
Bantuan itu bukan sahaja memberikan sokongan kewangan malah menyediakan pelbagai kemudahan lain untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyara keluarga lebih-lebih lagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Ibu kepada empat anak yang juga OKU penglihatan, Rosnah Tahar, 49, mengakui bantuan sara hidup, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diberikan kerajaan telah menjadi penyelamat keluarganya menempuhi ekonomi yang semakin mencabar kini.
"Bantuan STR yang saya terima sepenuhnya digunakan untuk empat anak yang masih bersekolah. Kami gunakan untuk membayar yuran, membeli buku dan peralatan bagi persekolahan.
"Gaji bulanan saya dan suami sebenarnya cuma cukup untuk tampung makan minum harian. Jadi STR ini membantu menampung keperluan keluarga," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, wang bantuan berkenaan turut digunakan untuk pusingan modal perniagaan ikan pekasamnya.
Rosnah berkata, bantuan Pas Perjalanan Percuma Pelajar Sekolah & OKU yang diperolehinya sangat bermakna dan memudahkan pergerakan ke tempat kerja dan sebagainya.
"Pas perjalanan tersebut membantu pergerakan saya dengan lebih lancar selain meningkatkan kemudahan dalam menjalani aktiviti harian.
"Ia sudah pasti dapat mengurangkan kos pengangkutan harian yang sangat penting bagi keluarga berpendapatan rendah seperti kami," katanya.
Beli barangan keperluan keluarga
Sementara itu, OKU pendengaran, Mohd Faiz Shuhaimi, 35, berkata, bantuan STR yang diterima dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan keluarga terutama bayinya yang berusia setahun.
Menurutnya, bantuan tersebut memberikan impak yang besar dalam kehidupan mereka sekeluarga.
"Terutama bagi membeli lampin pakai buang dan susu formula. Dengan bantuan ini, saya dapat memperoleh susu berkualiti tanpa perlu risau tentang kos. Ini membolehkan saya memberikan anak nutrisi yang diperlukan untuk tumbesaran yang sihat,” katanya.
Menurutnya yang juga Presiden Belia OKU Malaysia turut menikmati bantuan pas perjalanan percuma bagi OKU dan merupakan pengangkutan utama buatnya untuk bergerak.
Ujarnya, dia bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan awam untuk mobiliti dan aksesibiliti dalam kehidupan seharian.
"Perkhidmatan awam yang mesra OKU menyediakan ramp, lif dan tempat duduk khas membolehkan golongan itu bergerak dengan lebih mudah serta selesa di samping mengurangkan halangan fizikal.
"Bantuan ini turut memudahkan OKU untuk mengakses perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sosial yang mungkin sukar dijangkau tanpa bantuan pengangkutan," katanya yang juga OKU penglihatan.
Sementara itu, Manoghayathiri Manogaran, 38, berkata, pada masa kini kos kehidupan yang sangat tinggi sehingga gaji diterima tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan harian.
Ujarnya, wang bantuan STR diperolehi digunakan untuk perbelanjaan pengangkutan, makanan, membayar bil, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.
"Saya merupakan seorang OKU penglihatan bekerja sebagai penolong pegawai kebajikan dengan memperolehi gaji yang agak rendah jika diikuti dengan kelayakan ijazah sarjana muda dalam bidang sumber manusia.
"Saya menggunakan bantuan yang diterima dengan cermat. Dengan kata lain, saya hanya menggunakan bantuan untuk mendapatkan sesuatu yang sangat berguna dalam kehidupan harian," katanya.
Beri manfaat
Bantuan OKU dalam Kerangka Ekonomi Madani melibatkan beberapa aspek penting bertujuan untuk memberikan manfaat, membantu dan meningkatkan kualiti hidup golongan itu.
Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 yang menggariskan dua fokus utama iaitu yang pertama, menstruktur ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan yang kedua, meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
Kerangka ini diterajui oleh tiga teras utama iaitu Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai, Tatakelola Baik dan Reformasi Sektor Awam dan menaikkan Lantai yang disokong oleh enam nilai MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Menerusi Menaikkan Lantai, ia bertujuan untuk memperjuangkan keadilan sosial bagi memastikan kesaksamaan peluang demi kualiti hidup bermakna dan perlindungan sosial untuk semua.
Reaksi
"Bantuan pas perjalanan banyak memudahkan OKU melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan komuniti, ia turut mengurangkan rasa terasing dengan dunia nyata.-OKU penglihatan, Siti Huraizah Ruslan, 41
"Saya juga berharap agar lebih banyak inisiatif yang dapat memberi peluang pekerjaan atau latihan kepada golongan OKU untuk berdikari.-OKU fizikal, Jenson Tai Li Sheng, 32.
"Bantuan kerajaan memudahkan saya untuk membeli barangan keperluan diri. Ada duit sendiri tidak perlu harapkan orang, mungkin pemberian boleh diberi ikut bulanan tidak sama orang biasa."- OKU mental, Nursabrina Hassim, 30
INFO:
SUMBANGAN TUNAI RAHMAH (STR)
*Inisiatif di bawah konsep Payung Rahmah
*Tahun 2024, peruntukan bagi STR dinaikkan sebanyak RM2 bilion menjadi RM10 bilion
*Nilai bantuan STR maksimum diterima sehingga RM3,700 setahun bermula 2024 yang memanfaatkan penerima STR dengan status miskin dan miskin tegar
INFO:
SUMBANGAN TUNAI RAHMAH (STR)
*Pas Perjalanan Percuma Pelajar Sekolah & OKU
Pas perjalanan percuma untuk pelajar sekolah Tahun 1 sehingga Tingkatan 6 OKU bagi perkhidmatan Shuttle Timuran (DMU) sektor Gemas – Tumpat dan perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang dan Utara.
Tempoh: 15 Februari 2024 sehingga 31 Disember 2024.