KOTA BHARU - Bekas jurujual kedai motosikal Zuehardy Mustapa, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM150,300, dari 3 April tahun lepas hingga 30 Jun tahun ini.
Tertuduh yang membuat pengakuan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu menjadikan harta bernilai antara RM1,000 hingga RM48,700 berkenaan untuk kegunaan sendiri.
Perbuatan itu dilakukan di dua bank sekitar Kota Bharu dan lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat, serta boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Alini Ahamad Kamil.
Terdahulu, Kamarul Hasyime menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Nur Alini merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu, kerana anak guamnya telah berhenti kerja dan menanggung isteri serta dua anak.
Nur Alini berkata, anak guamnya mengalami kecederaan pada lutut dan perlu mendapatkan rawatan fisioterapi, tetapi tidak mampu dari segi kewangan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama