KOTA BHARU - Penyakit Sistemik Lupus Erimatosus (SLE) yang dihidapi seorang gadis acap kali menyebabkan dia berputus asa untuk belajar.
Namun bantuan daripada kawan-kawan dan ibu bapanya membolehkan, Nuruh Izzah Fauzi, 22, akhirnya berjaya meraih Diploma al-Syariah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Nuruh Izzah yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu disahkan menghidap sejenis penyakit keradangan kronik ketika belajar di semesta tiga pada tahun 2019.
"Waktu itu pembelajaran secara dalam talian kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kemudian semesta keempat terpaksa ditangguhkan kerana tidak mampu belajar semasa sakit.
"Selepas itu, perlu belajar di kolej dan waktu inilah kerap kali berputus asa kerana badan lemah dan sakit-sakit tetapi dengan bantuan rakan-rakan serta pensyarah-pensyarah, saya akhirnya berjaya menamatkan pelajaran,” katanya.
Nuruh Izzah ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen KIAS ke-24 di sini, pada Isnin.
Menurut gadis yang berasal dari Kampung Banggol Manok, Pasir Mas itu, ibunya, Aini Mahmmod, 52, yang merupakan seorang guru dan bapa, Fauzi Mat Jusof, 65, yang bekerja sebagai petani menjadi antara pendorong utama terhadap kejayaan tersebut.
Nuruh Izzah juga memberitahu, dia kini mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II setiap tiga bulan dan terkini jari kedua-dua tangannya mulai membengkok.
"Saya berniat untuk sambung belajar tetapi akan menjalani perubatan hingga sembuh terlebih dahulu.
"Cita-cita saya untuk menjadi guru juga ditangguhkan kerana penyakit ini,” katanya.