Pegawai imigresen tidak mengaku terima rasuah lebih RM55,000

Iklan
Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150 antara November tahun lalu hingga Februari lalu..

Tertuduh, Mohd Edisahril Mohd Noor, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan antara RM3,000 hingga RM10,000 daripada seorang lelaki kepada akaun syarikat milik isteri tertuduh.

Kesemua suapan berjumlah RM55,150 itu adalah sebagai upah kepada tertuduh bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan Akta Imigresen 1959.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di sebuah bank cawangan Bandar Baru Uda di sini, antara 4 November 2023 hingga 23 Februari lalu.

Pada prosiding sama, tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Gred KP22 yang bertugas di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu turut mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan pilihan iaitu bersetuju menerima semua wang suapan itu di lokasi dan tarikh yang sama.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dibuat dengan tiada balasan daripada lelaki itu yang tertuduh tahu ia ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai Imigresen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin terdahulu menawarkan jaminan antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi semua pertuduhan itu dengan dua syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor.

Peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan bapa tiga anak itu sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang proses siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 10 November ini.