SHAH ALAM - Pasangan suami isteri perlu mengelak daripada mengungkit keaiban atau kekurangan masing-masing terutamanya selepas berlaku perpisahan.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Islam mengajarkan umatnya untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.
"Dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujudnya badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan. Setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran ini.
"Namun, Islam mengingatkan bahawa meskipun perceraian itu dibenarkan, ia adalah perkara yang paling dibenci oleh ALLAH SWT dalam kalangan yang halal. Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.
Sinar Harian melaporkan, perkahwinan yang terbina selama tujuh tahun oleh pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura akhirnya terlerai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada Isnin.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Bagaimanapun, tidak sampai sejam berlakunya perpisahan tersebut, Fazura, 41, tampil mendedahkan punca berlaku perceraian dengan bekas suaminya itu hingga mendapat perhatian ramai.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menambah, menjadi satu keutamaan juga buat ibu bapa untuk menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa kepada perpisahan tersebut.
Menurutnya, anak-anak yang tidak bersalah mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa dan wajib untuk menjaga kebajikan mereka, walaupun berlaku perceraian.
"Dalam menghadapi perpisahan, doa dan munajat kepada ALLAH SWT adalah sandaran utama kita sebagai hamba-Nya. Berdoalah agar kita diberikan kekuatan, kesabaran, serta petunjuk dalam melalui ujian ini.
"Doa juga menjadi penghubung rohani antara kita dan Tuhan, menjadikan kita insan yang lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran hidup," katanya.
Beliau dalam masa sama turut mengingatkan semua pihak yang berdepan konflik untuk sentiasa menjadi individu yang mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.
"Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran dari kedua-dua belah pihak. Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing.
"Kita sebagai manusia pasti tidak sempurna, tetapi usaha untuk menjadi insan yang lebih baik itu yang paling utama. Kepada ALLAH SWT jua kita memohon," katanya.