Sekretariat tetap ditubuh atasi masalah KHTP - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika mengadakan Lawatan Kerja ke KHTP pada Isnin.

KULIM - Satu sekretariat tetap akan ditubuhkan bagi mengatasi ketidakcukupan pekerja mahir dan profesional sekali gus memenuhi permintaan industri di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekretariat itu juga akan mengkoordinasikan keperluan guna tenaga berkemahiran selari dengan kehendak pasaran.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) berkata, ia antara langkah diambil bagi mengatasi beberapa isu yang telah dibangkitkan termasuk keperluan dan kemampuan tenaga kerja teknikal di Malaysia khususnya di KHTP.

Ahmad Zahid

"Mengenai isu pembekalan pekerja mahir dan profesional, dalam dua minggu dari sekarang kita akan mengambil beberapa tindakan dan memutuskan beberapa perkara, pertama ialah pembentukan sekretariat tetap untuk menyelaras keperluan tenaga mahir oleh setiap industri di KHTP,” katanya kepada media selepas Lawatan Kerja ke KHTP di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Exco Pengajian Tinggi, Industri dan Pelaburan Kedah, Dr Hailm Hilman Abdullah.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar satu perjanjian persefahaman dibuat antara semua industri agar menggunakan model Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dalam isu perpindahan pekerja dari satu syarikat ke syarikat lain di KHTP.

Iklan

"Masalah dari segi perpindahan guna tenaga pekerja di antara syarikat dengan satu syarikat yang lain dan ini menyebabkan penurunan produktiviti apabila mahu memperolehi tenaga kerja baharu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, masalah kemudahan kesihatan yang dibangkitkan seperti ketidakcukupan katil hospital akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan terdapat kira-kira 45,000 pekerja di taman teknologi tinggi itu.

"Masalah dari segi lalu lintas terutama di waktu puncak... perkara ini saya akan bawa kepada menteri dalam negeri agar beberapa langkah dapat diambil terutama menempatkan anggota dan pegawai polis," katanya.

Selain pada itu, katanya, kewujudan sebuah pusat latihan pasca siswazah akan turut diberi keutamaan memandangkan terdapat keperluan industri berhubung permintaan tersebut.

"Ada industri memerlukan tenaga profesional pasca siswasah ini...kolaborasi dengan universiti berdekatan terutama yang berada sekitar 30 kilometer radius akan dilakukan namun kita harus terbuka juga melakukan koordinasi dengan Malaysian Technical University Network (MTUN) di mana terdapat enam universiti teknikal yang menjana beberapa kursus yang bersesuaian dengan kehendak pasaran industri.

"Walaupun berbeza tiap industri namun kursus yang disediakan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ini adalah selaras dengan keperluan kemahiran bagi bidang tertentu,"katanya.

Jelasnya, kesemua laporan akan dibentangkan kepada jemaah menteri dan kementerian terlibat bagi membolehkan permasalahan yang dibangkitkan di KHTP dapat diatasi sekali gus memenuhi kehendak pelabur dalam dan luar negara.

Setakat ini, KHTP merupakan lokasi pelaburan bagi 53 syarikat pelabur daripada 11 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.