Enam warga China guna kereta sewa samun rumah dua tingkat

Iklan
Hussein (kiri) menunjukkan antara suspek terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah yang berjaya diberkas.

SHAH ALAM - Menyewa kereta serta menyasarkan rumah dua tingkat tiada penghuni antara taktik dilakukan sekumpulan individu warga China dan lelaki tempatan yang bergiat aktif dalam kegiatan samun sebelum tumpas menerusi tangkapan pada 5 dan 6 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek terdiri daripada enam lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan ini dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah rumah sejak awal Januari hingga September lalu.

Beliau berkata, kesemua suspek diberkas di hotel sekitar Kuala Lumpur serta sebuah kondominium di Subang Jaya.

Iklan

"Siasatan mendapati kesemua suspek berumur 30-an hingga 40-an ini menyasarkan rumah dua tingkat tidak berpenghuni serta mencuri barangan berharga termasuk yang disimpan dalam peti besi.

"Hasil barangan yang disamun akan digunakan suspek terutama individu warga China ini untuk menginap di beberapa buah hotel bertaraf tiga bintang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Hussein menunjukkan antara barangan yang dirampas menerusi tangkapan warga China dan tempatan yang terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah.

Katanya, kumpulan penjenayah ini terlibat dalam lapan kes di Sabak Bernam, tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Perak dan Pahang.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menyewa kereta termasuk jenis Perodua Bezza dan Alza ketika melakukan jenayah samun di lokasi terlibat terutamanya Sabak Bernam.

"Suspek warga tempatan yang ditahan ini berperanan mengenal pasti rumah yang ingin dipecah masuk serta melupuskan barangan yang dicuri," katanya.

Menurutnya, enam suspek warga China ini turut didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

"Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti berapa lama mereka berada di negara ini serta dokumen yang digunakan untuk mereka masuk ke dalam negara.

"Kes ini merupakan kes pertama sejak dua tahun lalu melibatkan jenayah pecah rumah didalangi warga China berbanding warganegara lain seperti Latin misalnya yang direkodkan sebelum ini," katanya.

Hussein berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.